Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!

Percaya Ada Hantu Dalam Badan, Mina AOA Mengaku Lebih Sihat Lepas Jumpa Bomoh

Maliah Surip
19/06/2021 13:50 MYT
Salah seorang bekas anggota AOA, Mina pernah mencetuskan kontroversi dengan pengakuannya yang mengalami masalah kesihatan mental selepas dibuli oleh salah seorang rakan dalam grup sama, Jimin.

Setahun telah berlalu. Jimin sudah meninggalkan industri hiburan Korea Selatan sebelum meminta maaf kepada Mina terhadap perbuatan tak eloknya.

Mina pula kerap mengemas kini perkembangan termasuk tindakannya yang ingin membunuh diri dengan cara menggelar pergelangan tangannya.

Terkini, dia mengejutkan pengikut dalam laman sosialnya dengan sebuah coretan panjang mengenai tahap kesihatan dirinya.

Dia mengaku tahap kesihatan dirinya semakin baik selepas melakukan sebuah ritual seperti yang disyorkan oleh seorang bomoh yang ditemuinya tidak lama dahulu. Mina bagaimanapun tidak menjelaskan bagaimana ritual tersebut dijalankan.

Menurut Mina dia memberi khabar terkini tentang dirinya setelah mendapati masih ramai yang bimbangkan tahap kesihatan dirinya selepas insiden buli dan percubaan bunuh diri yang dilakukan sebelum ini.

"Mungkin terlalu panjang jika ingin saya kongsikan semua. Jadi saya ringkaskan.

"Tidak lama dulu saya menjalani ritual Kut yang cukup popular dalam istilah perubatan bomoh di Korea.

"Saya percaya tentang kewujudan hantu, makhluk halus, orang mati dan semua agama. Jadi satu hari saya telah pergi ke kediaman seorang bomoh untuk melihat masa depan saya secara suka suka.

"Saya mendengar banyak cerita mengenai kisah dunia lain dari bapa dan nenek saya. Jadi bomoh ini berasa saya perlu melakukan ritual Kut sebagai harapan terakhir saya untuk menolong diri bebas dari masalah ini," tulis Mina di akaun Instagram seperti yang diterjemahkan oleh portal AllKPop.

Mina mendakwa dia bertemu bomoh selepas menerima rawatan di Busan National University kerana percubaan bunuh diri dan menjalani pembedahan.

Lanjut Mina, walaupun pada mulanya tidak mempercayai ritual Kut yang sudah didengar sejak empat tahun lalu, kini dia melakukannya dan melihat banyak perubahan yang terjadi.

"Bomoh kata ada banyak syaitan dan hantu dalam badan saya pada satu masa. Saya pernah mahu membunuh diri Mei lalu, tetapi mendiang atuk dan ayah yang menyelamatkan saya dengan ritual Kut.

"Sama ada mahu percaya atau tidak, saya melakukan ritual Kut dan ia berjaya. Ia membuat saya lebih tenang dan saya mengurangkan dos ubat yang dimakan.

"Kini hidup saya lebih baik. Saya boleh tidur dengan nyenyak dan tangan kiri (bekas dipotong) sudah boleh digerakkan dengan lebih baik," katanya bahagia.

Terakhirnya, Mina mengaku berasa lebih termotivasi dan ramai yang bertemu dengannya mengatakan dia kelihatan sihat sekarang.

"Tapi saya tidak boleh katakan telah sembuh sepenuhnya dari anxiety, depresi dan insomnia yang dialami. Namun semuanya beransur pulih,"katanya.

Walaupun sedar ramai yang tidak percaya dan mengatakan dia mungkin gila kerana bercerita tentang bomoh dan roh jahat, namun dia hanya ingin menyampaikan perkara yang benar.

Foto: Soompi
#Penyanyi #Instagram #Hantu #Kpop #Bomoh #Mina AOA
;