Perdana Menteri Malaysia, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengucapkan tahniah kepada semua calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2020 yang menerima keputusan hari ini.

Tan Sri Muhyiddin mengambil maklum bahawa keputusan SPM 2020 adalah pencapaian terbaik dalam tempoh lima tahun.

Beliau juga berbangga kerana calon SPM 2020 mengharungi situasi dan ujian berbeza menduduki peperiksaan ketika pandemik COVID-19.

"Hari ini anak-anak yang menduduki SPM 2020 telah pun menerima keputusan peperiksaan masing-masing dan Alhamdulillah, saya mengambil maklum bahawa keputusan SPM tahun 2020 adalah pencapaian terbaik dalam tempoh 5 tahun.

"Saya doakan agar anda semua memperoleh keputusan yang cemerlang. Bagaimanapun, sekiranya keputusan yang diterima bukanlah seperti yang diharapkan, jangan sesekali berputus asa.

"Saya berbangga kerana setiap daripada anda adalah individu yang hebat memandangkan peperiksaan kali ini amat jauh berbeza cabarannya berbanding tahun-tahun sudah dalam situasi negara dan dunia bergelut dengan pandemik COVID-19," katanya menerusi Facebook hari ini.

Dalam pada itu, Tan Sri Muhyiddin turut mendedikasikan ucapan penghargaan kepada ibu bapa dan guru dalam usaha membantu pelajar menduduki peperiksaan ketika waktu sukar.

"Saya juga ingin mengucapkan terima kasih dan tahniah kepada ibu bapa dan guru-guru yang telah berhempas-pulas berusaha bagi membantu pelajar mengharungi peperiksaan dalam masa yang amat mencabar ini.

"Usaha berlipat ganda ibu bapa dan guru-guru sudah pun dilakukan menerusi proses pembelajaran dan pengajaran (PdP) yang penuh mencabar dalam suasana norma baharu.

"Sudah pasti harapan tinggi diletakkan agar semua usaha itu membuahkan hasil yang memberangsangkan," katanya lagi.

Tan Sri Muhyiddin juga tidak lupa memberi kata-kata semangat kepada pelajar yang mendapat keputusan kurang memuaskan.

Kata beliau, peringat ini bukanlah satu satu pengakhiran.

"Namun, kepada anak-anak semua, jika keputusan yang diperoleh hari ini tidak seperti yang diharapkan, ia bukanlah penamat.

"Perjalanan dan perjuangan hidup anda baru bermula. Banyak lagi ilmu serta bidang yang belum diteroka dan juga pengalaman yang belum ditempuh.

"Jadikan keputusan yang diterima hari ini sebagai penyuntik semangat untuk anda terus berusaha bagi memastikan kehidupan serta masa depan yang terjamin.

"Sekali lagi saya ingin mengucapkan syabas dan tahniah kepada semua pelajar yang menerima keputusan peperiksaan SPM hari ini," katanya.

Foto: AWANI