Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!

Pereka Fesyen Pierre Cardin Meninggal Dunia, 2 Tahun Sebelum Cecah Usia 100 Tahun

Maliah Surip
29/12/2020 16:10 MYT
Dunia fesyen kehilangan seorang pesohor mereka, Pierre Cardin. Pereka fesyen kelahiran Itali itu diumumkan meninggal dunia pada usia 98 tahun, dua tahun sebelum beliau menyambut ulang tahun ke 100nya.

Khabar kematian Cardin yang lahir pada tahun 1922 itu disampaikan oleh keluarga pereka tersebut pada Selasa malam waktu Malaysia. Cardin dilaporkan meninggal dunia di sebuah hospital di Neuilly, berdekatan Paris.

"Dengan dukacita kami sekeluarga menyampaikan berita kematian Pierre Cardin," demikian memetik kenyataan yang disampaikan melalui Twitter dan media antarabangsa.

Cardin menjadi pereka fesyen yang amat disegani sejak beliau memulakan kariernya sekitar tahun 1960an dan 70an. Beliau menjadi pesohor apabila menghasilkan rekaan yang futuristik dan menjadi pioneer yang memulakan produksi cenderamata termasuk pen, jam dan kasut.



Rekaannya juga banyak dipakai oleh figura terkenal dunia termasuk bintang Elizabeth Taylor, Brigitte Bardot dan anggota The Beatles. Cardin juga telah menghasilkan busana bagi filem Disney, Beauty and the Beast pada tahun 1946.

Sepanjang lebih tiga dekad karier, jenama Pierre Cardin yang diambil sempena namanya sendiri terjual di lebih 140 negara di seluruh dunia.

Cardin merupakan anak bongsu dari 11 beradik yang menggapai impiannya menjadi pereka fesyen selepas mempelajarinya pada usia 17 tahun.

Ironi, bapanya tidak pernah menginginkan beliau bergelar pereka fesyen. tetapi mahu Cardin membina reputasi sebagai seorang arkitek.

Kredit Foto: Getty Images, AP
#Pereka Fesyen #Kasut #Paris #Pen #Itali #Futuristik #Pierre Cardin
;