Dalam hanya tempoh tiga hari, video 'cover' Aisyah Isteri Rasulullah nyanyian Datuk Seri Siti Nurhaliza telah mencecah sehingga satu juta tontonan di YouTube.

Video berkenaan dimuat naik di YouTube rasminya iaitu Siti Official Video pada 10 April lalu.

Apa yang lebih mengagumkan, video 'cover' tersebut hanya menggunakan aplikasi Smule.

Malah, lagu yang menceritakan sifat dan perilaku Aisyah terhadap Rasulullah serta sikap romantis Rasulullah sendiri telah menarik YouTuber dari luar negara termasuk yang bukan beragama Islam mendengar bait lirik tersebut.

Sementara itu, menerusi ruang komen, rata-rata memuji kelunakan suara Siti Nurhaliza atau lebih mesra disapa Tokti.

Malah, ada juga yang mengatakan 'cover' berkenaan adalah yang terbaik setakat ini kerana lebih menyentuh perasaan.

Untuk makluman lagu tersebut merupakan kepunyaan asal Projector Band yang dicipta oleh ahli kumpulannya sendiri iaitu Angah Razif.

Lagu berkenaan kemudian diubah liriknya oleh Ustaz Hasbi Muh Ali dan menjadi popular selepas dinyanyikan semula oleh YouTuber MS Muallimah dan penyanyi Nissa Sabyan.