Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!

Perhatian Kaki Kayuh Semua! Berbasikal Boleh Menyebabkan Mati Pucuk?

Fiza Kamarudin
17/09/2020 23:35 MYT
Sejak akhir-akhir ini sukan berbasikal sudah menjadi trend di kalangan rakyat Malaysia tanpa mengira peringkat usia.

Sukan ini sememangnya baik untuk kesihatan, tetapi tahukah anda ia juga boleh memudaratkan jika tidak kena gayanya?

Laman sosial Facebook Public Health Malaysia, telah menyatakan sukan berbasikal boleh menyebabkan kecederaan saraf dan salur darah berhubung dengan bahagian zakar dan klitoris sehingga menyebabkan mati pucuk.

Berikut adalah tanda-tandanya:

- Kebas di bahagian celah peha/kemaluan. Anda pernah alami masalah kebas bila duduk lama di basikal/motor? Jika ya, ianya mungkin masalah pada tempat duduk.

- Jika kita duduk di kerusi biasa, berat kita disebarkan pada kedua-dua punggung kita dan kerusi tidak akan menekan pada bahagian tengah punggung, yang dikenali sebagai perineum.

- Namun pada sesetengah basikal atau motor, tempat duduknya menirus dan memberikan tekanan pada bahagian perineum.

- Di bahagian inilah terletaknya saraf dan salur darah berhubung dengan bahagian zakar dan klitoris. Kecederaan saraf dan salur darah ini boleh menyebabkan mati pucuk samada pada jangka masa pendek mahupun panjang.

Menurut Public Health Malaysia lagi, perkara tersebut boleh dielakkan sekiranya anda mengikuti tips ini:

i. Pastikan basikal sesuai dengan ketinggian dan berat badan.
ii. Pastikan tempat duduk selaras dengan ketinggian.
iii. Elakkan badan ke hadapan semasa berbasikal.
iv. Pilih padding yang lembut.
v. Jangan sesekali menghala tempat duduk ke atas.
vi. Pilih tempat duduk yang lebar.

Selain aspek kesihatan, jangan abaikan keselamatan ketika berbasikal bagi mengelak risiko kecederaan dan berlakunya kemalangan.

Semoga perkongsian ini bermanfaat buat kaki kayuh semua!

#Mati Pucuk #Basikal #Kaki Kayuh
;