VIRAL

Perjumpaan G*y Di Kelantan: Tiga Didenda RM11,000 Miliki Gambar, Video Lucah Sejenis

Gempak 20/07/2025 | 12:50 MYT
Tiga termasuk dua penuntut institusi pengajian tinggi (IPT) didenda RM11,000 di Mahkamah Majistret Kota Bharu, Kelantan pada Ahad selepas mengaku bersalah memiliki gambar dan video lucah jantina sejenis dalam telefon bimbit masing-masing.

Penuntut, Muhammad Al Azamuddin Al Fadzil, 22, dari Setiawan, Perak dan Mohamad Syahmi Firas Mohd Jurij, 27, dari Bachok, Kelantan didenda masing-masing RM4,000 manakala pengganggur, Mohd Hanafi Ibrahim, 47, dari daerah ini, didenda RM3,000.

Hukuman diputuskan Majistret, Wan Mohd Izzat Wan Abdullah.

Mereka masing-masing didakwa memiliki gambar dan video lucah dalam telefon bimbit masing-masing pada jam 1.15 pagi di sebuah rumah Jalan Kemumin, Kampung Pulau Belacang, Panchor pada 18 Jun lalu.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 292 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Kes dikendalikan Timbalan Muhammad Nadzir Abdullah dan Nur Haziqah Hassan manakala kesemua tertuduh diwakili peguam, Chong Yin Xin.

Yin Xin pada prosiding itu memohon hukuman ringan terhadap kesemua tertuduh.

“Anak guam saya yang pertama, Mohd Hanafi pernah menjalani pembedahan kepala pada 2016 kerana memiliki masalah kesihatan dalam otak dan kini ditanggung oleh kakaknya.


“Muhammad Al Azamuddin pula adalah penuntut universiti tahun pertama dan Mohamad Syahmi Firas adalah penuntut akhir di sebuah IPT,” katanya.

Mahkamah turut menetapkan penjara masing-masing enam bulan jika gagal jelas denda.

Kesemua tertuduh kemudian bebas selepas menjelaskan denda.

Sebelum ini, akhbar melaporkan lebih 20 lelaki yang menyertai pertemuan kumpulan gay di sebuah rumah banglo di Kemumin, Pengkalan Chepa di sini terkejut selepas kediaman itu diserbu polis bulan lalu.

Serbuan pada jam 1 pagi itu dilaksanakan selepas pihak berkuasa melakukan intipan awal di banglo berkenaan yang dipercayai menjadi ‘sarang’ kumpulan tersebut berkumpul.

Sumber: Sinar Harian
#Viral #Gay #Homoseksual #Kelantan #Polis #Lucah #Denda #Sejenis #Outreach