Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!

Perjumpaan Tidak Dirancang, Buahkan Pendamaian Memey Suhaiza & Abby Abadi

Zulaikha Yusof
22/03/2019 03:48 MYT
Pelakon Memey Suhaiza mendedahkan bermulanya pendamaian bersama aktres Abby Abadi adalah ketika bulan ramadan beberapa tahun lalu.

Menurut Memey perjumpaan itu sebenarnya tidak dirancang.

"Sebenarnya sebelum ini kami sering terserempak namun masing-masing melarikan diri.

"Masa itu ketika bulan Ramadan, kami berjumpa dan bermula dari situ banyak perkara yang disuarakan.

"Perjumpaan kami bukan dirancang tetapi alhamdulillah rezeki untuk anak-anak.

"Daripada situ kami bersama-sama berganding bahu menguruskan keluarga," katanya kepada Gempak.

Memey ditemui ketika program beramah mesra bersama kanak-kanak sindrom down bersempena menyambut Hari Sindrom Down Sedunia di Rumah Persatuan Sindrom Down Malaysia (PSDM), Kuala Lumpur.

Tambah Memey, dia sangat menyukai keluarga yang besar.

"Rasa seronok sebab adik beradik saya ramai, 6 orang. Jadi dah terbiasa dengan suasana huru-hara serta meriah.

"Saya tidak boleh hidup sorang jadi apabila melibatkan ramai orang saya suka," katanya lagi.

Sebelum ini, Abby pernah berkahwin dengan Norman pada tahun 2002 dan bercerai pada tahun 2008.

Hasil perkahwinan, Abby dan Norman dikurniakan tiga orang anak iaitu Mohamed Danish Hakim, Marissa Dania Hakim dan Maria Danisha Hakim.
#Abby Abadi #Memey Suhaiza
;