Aktres jelita Nora Danish mengakui tidak sukar mencipta ‘chemistry’ bersama penyanyi rap MK K-Clique kerana terlebih dahulu bermula dengan kawan.

Menurut Nora, dia sendiri merupakan pemina MK dan meluahkan rasa teruja apabila mendapat tawaran gandingan ini daripada pengarah filem 7 Minggu Sebelum Kahwin, Eyra Rahman.

“Sebenarnya saya minat juga dengan MK jadi bila pengarah beritahu saya bakal digandingkan dengan MK, saya teruja. Tapi kami memang berkawan. Lepak sama-sama pun pernah, jadi bila masuk set penggambaran tu memang best.

“Tapi kita tahu MK ni seorang yang sangat merendah diri, hormat orang lain, senang sangat bekerja dengan dia. Chemistry saya dengan MK juga mudah,” jelasnya kepada Gempak.

Nora ditemui sewaktu majlis sidang media filem 7 Minggu Sebelum Kahwin yang diadakan di Dadi Cinema, Pavilion, Kuala Lumpur pada awal Julai lalu.

Selain Nora dan MK, Filem terbitan KRU Studios dan Bloombordia ini menampilkan barisan pelakon berbakat seperti Alya Iman, Vanessa Reynauld, Ropie, Yassin, Sham Visa dan Azizah Mahzan.

Filem 7 Minggu Sebelum Kahwin mengisahkan Syifa lakonan Nora Danish mengimpikan sebuah perkahwinan yang indah dan meriah sejak dari kecil.

Bertemu dengan kekasihnya, Amar lakonan MK K-Clique di dalam majlis resepsi menguatkan semangat Syifa bahawa perkahwinan ini mestilah ‘PERFECT’.

Namun, pelbagai masalah timbul apabila Syifa obses mahukan majlis perkahwinan yang sempurna. Setiap masalah yang muncul telah menyebabkan kepercayaan dan perasaan cinta mereka luntur.

Kemunculan Natasha lakonan Alya Iman, bekas kekasih Amar pada minggu terakhir perkahwinan mereka telah mencetuskan pergaduhan besar dan memutuskan untuk berpisah.

Mampukan Syifa dan Amar mempertahankan cinta mereka sehingga ke jenjang pelamin?



Tonton filem 7 Minggu Sebelum Kahwin bermula 7 Julai ini di saluran Astro First (480).

Nak tonton banyak lagi movie menarik? Terus je ke pawagam rumah anda, Astro First di saluran 480 untuk lebih banyak filem hebat! Macam-macam movie ada!