Penyanyi popular Hollywood, Justin Bieber, 25, meluahkan isi hati mengenai kehidupan dan beberapa masalah yang dihadapinya sejak bergelar bintang pada usia remaja.

Perkongsian itu dibuat menerusi sebuah entri di akaun Instagram miliknya buat tatapan umum.

Menurut Justin, kematangan seseorang dalam membuat keputusan dan beberapa aspek lain bergantung kepada umur.

"Artis yang mula popular pada usia kanak-kanak atau remaja sebenarnya menghadapi kesukaran kerana ketika itu, kami tidak mampu untuk berfikir dengan matang dan membuat keputusan dengan betul.

"Pada usia 13 tahun, nasib saya berubah dari seorang remaja yang tinggal di sebuah pekan kecil, kemudian bergelar bintang yang disanjung ramai.

"Bagi saya, perasaan merendah diri dan kematangan sememangnya berkait rapat dengan umur kerana sebelum ini, saya tidak pernah rasa bertanggungjawab walaupun orang sekeliling telah lakukan segalanya untuk saya,"
tulisnya dalam sebuah foto paparan skrin yang dimuat naik.

Selain itu, Justin turut membuat pengakuan yang dia telah terlibat dengan penyalahgunaan dadah pada usia seawal 19 tahun.

"Pada usia 19 tahun, saya telah terlibat dengan penyalahgunaan dadah, merosakkan hubungan dengan orang lain, tidak menghormati wanita dan bersikap baran. Saya juga telah menjauhkan diri dari semua orang ketika itu.

"Saya telah mengambil masa selama bertahun-tahun untuk berubah, namun begitu, saya bersyukur kerana dikurniakan orang-orang hebat yang sentiasa menyokong dan menyayangi.

"Sekarang, saya sedang melalui fasa terbaik dalam hidup iaitu perkahwinan. Ia merupakan satu tanggungjawab besar kerana perkahwinan mengajar erti kesabaran, kepercayaan, komitment, kebaikan dan rasa rendah diri,"
tulisnya lagi.

Meninjau ruangan komen, rata-rata peminat Justin memberikan respon positif dan berasa bangga dengan perubahan diri penyanyi kegemaran mereka itu.

Hope you find time to read this it’s from my heart

A post shared by Justin Bieber (@justinbieber) on


Sedikit info mengenai Justin, penyanyi kelahiran Kanada ini mulai aktif di persada hiburan Hollywood pada sekitar tahun 2008.

Justin kini melayari alam perkahwinan bersama isterinya, model Hailey Baldwin.