GAYA HIDUP

Perkhidmatan Seru-Pandu Motosikal, Go-Jek Akan Masuk Malaysia Tak Lama Lagi?

Azwa Rahman 23/05/2019 | 08:43 MYT
Perkhidmatan e-hailing atau seru-pandu yang berasal dari Indonesia, Go-Jek berminat untuk melebarkan sayapnya memasuki Malaysia.

Diumumkan oleh Menteri Pengangkutan, YB Anthony Loke, Go-Jek akan berada di pasaran Malaysia untuk menawarkan perkhidmatan yang sama.

Masih lagi di peringkat perbincangan, pihak Go-Jek sendiri masih tidak mengetahui bilakah tarikh sah perkhidmatan ini bakal beroperasi di Malaysia.



Penawaran perkhidmatan ini memerlukan lebih masa kerana Kementerian Pengangkutan perlu menggubal undang-undang khas buat mereka yang berminat untuk menjadi pemandu Go-Jek.

Namun, beliau turut memberikan pandangan yang Malaysia belum bersedia untuk perkhidmatan seperti ini berikutan kadar kematian penunggang motorsikal yang meningkat saban tahun.

Go-Jek atau nama penuhnya PT Aplikasi Karya Anak Bangsa bermula pada tahun 2010 sebagai perkhidmatan pengangkutan yang menghantar pengguna ke mana sahaja destinasi mereka.

Selain menghantar pengguna, Go-Jek juga turut digunakan untuk membuat pembayaran bil, penghantaran makanan serta pembelian barangan dapur.

Perkhidmatan Go-Jek juga sebenarnya lebih lama berbanding Grab yang bermula pada tahun 2012.

Selain bakal memasuki Malaysia, Go-Jek turut menawarkan servis mereka ke Thailand, Vietnam, Singapura dan Filipina.

Tak sabar untuk menggunakan perkhidmatan ini, pastinya perjalanan anda untuk ke destinasi pilihan semakin murah dan cepat.
#Malaysia #Go-Jek #Pengangkutan