Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!

Perlu 2 Bulan Untuk Persiapan, Cromok Enggan Buat Konsert Ala Kadar

Kamaruddin Razal
13/12/2017 12:00 MYT
Kumpulan thrash metal popular, Cromok memerlukan masa dua bulan untuk melakukan persiapan bagi konsert Metal Legends Live In Concert yang bakal berlangsung pada 3 Februari 2018.

Bakal berkongsi pentas dengan kumpulan XPDC, Cromok yang dianggotai oleh Sam (bass dan vokal), Miji (dram) dan Karl (gitar) tak mahu melakukan persembahan ala kadar.

“Hampir empat tahun kami tidak melakukan persembahan dalam skala besar. Rasa rindu itu sangat membara dan kami mahu mengubati kerinduan peminat.

“Kami sudah mula melakukan persiapan dan latihan kerana mahu memberikan yang terbaik. Kami tak mahu melakukan persembahan ala kadar.

“Peminat sanggup berhabis duit untuk membeli tiket, jadi kami kena melakukan sehabis baik. Tak adil jika persembahan kami sekadar melepaskan batuk di tangga,” kata Karl mewakili Cromok.

Tambah Karl, mereka juga tidak sabar untuk berkongsi pentas dengan XPDC.

“Konsert itu bakal berlangsung selama lebih satu jam. Mungkin akan ada satu persembahan istimewa gabungan XPDC dan Cromok.

“Kami sudah tidak sabar untuk beraksi dan berharap agar konsert ini akan menarik perhatian peminat,” katanya lagi.

Metal Legends Live In Concert bakal diadakan di MAEPS, Serdang pada 3 Februari tahun hadapan.

Tiket sudah mula dijual bermula dengan harga RM68 (trash zone), RM120 (hardcore zone) dan RM250 (vip & backstage zone) di laman web www.ilassoticket.com

Teks oleh: Kamaruddin Razal
#XPDC #Cromok #Metal Legends Live In Concert
;