Suami kepada pelakon terkenal Ummi Nazeera, Dr. Izzar Anwari Abdul Khani mendedahkan tentang bahayanya jika penyembur pistol atau ‘spray gun’ disembur kepada badan manusia.

Dr. Izzar yang juga Ketua Penolong Pengarah, Bahagian Kawalan Penyakit Kementerian Kesihatan berkata, jika disembur kepada individu boleh menyebabkan mudarat kepada kesihatan fizikal dan mental seseorang.

“Jika seseorang itu dijangkiti Covid-19, kena sembur di baju sekali pun, masih boleh menjangkiti orang lain sebaik sahaja dia bercakap, batuk atau bersin (kalau tak pakai mask). Jadi apa gunanya kita sembur pada baju seseorang individu itu.

“Bukannya kita menyentuh baju orang selalu. Kalau baju sendiri, balik rumah terus dibasuh. Buat apa ‘spray’ dulu sebelum masuk rumah. Sembur bahan kimia kepada individu boleh menyebabkan mudarat kepada mata, kulit, dan pernafasan mereka,” katanya.

Doktor itu berkongsi perkara tersebut dalam satu hantaran di Instagram miliknya.

Jelasnya lagi, semburan secara besar-besaran di tempat awam juga tidak digalakkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) kerana kurang berkesan.

Sebaliknya, orang ramai perlu memahami tiga cara virus Covid-19 merebak untuk mencegah penularan wabak itu.

“Apabila bernafas di udara bila berhadapan dengan individu yang dijangkiti, oleh itu perlunya pemakaian pelitup muka, kedua ialah apabila ‘droplet’ mengandungi virus itu pergi ke mata, hidung atau mulut melalui percikan atau semburan dan disebabkan itu pentingnya pemakaian pelindung muka dan penjarakan fizikal.

“Selain itu, apabila individu menyentuh mata, hidung atau mulut dengan tangan yang menyentuh virus Covid-19, disebabkan itu kita perlu menjaga kebersihan tangan dan sanitasi atau disinfeksi permukaan yang kerap disentuh orang,” jelasnya.

Walau bagaimana pun, tegasnya orang ramai perlu mengambil vaksin, patuhi prosedur operasi standard, jaga kebersihan tangan dan cuci permukaan kerap disentuh dengan sabun atau ‘detergen’ yang sesuai sudah memadai.

A post shared by Dr. Izzar Anwari (@izzar)