Layan Gempak Non-Stop Live hari ini selama 12 jam! Kumpul kata kunci & menang hadiah menarik di sini
Hiburan

Perlukah Diubah Cerita Rakyat Mengikut Peredaran Masa?

Badrul Hashim 21/06/2020 | 23:45 MYT
Industri lakonan bergegar sekali lagi biarpun baru sahaja dibenarkan beroperasi kembali selepas memasuki Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) bermula 10 Jun lalu.
Kali ini tentang kisah dongeng rakyat, Dayang Senandung yang menjadi perbualan hangat di media sosial apabila pelakon utama untuk drama yang sedang dalam penggambaran, Wani Kayrie memuat naik satu TikTok dengan wajahnya dihitamkan.
Di bawah Zeel Production, filem yang diterbitkan pada tahun 1965 dengan judul yang sama kini dalam proses penggambaran dan bakal dijadikan drama untuk tayangan di kaca televisyen.

Filem Dayang Senandong (1965)

(Kredit: YouTube)
Filem Dayang Senandong (Senandong dieja mengikut ejaan Melayu lama) arahan pengarah Jamil Sulong dan dibintangi oleh Sarimah, Ahmad Mahmud, Haji Mahadi, Kuswadinata, Ahmad nisfu Ibrahim Pendek, S. Shamsuddin dan beberapa nama lagi berkisar kepada cerita rakyat yang diadaptasikan menjadi filem.
Secara ringkasnya, Dayang Senandong mengisahkan seorang puteri raja dari Ratnapura yang dilahirkan bertubuh hitam akibat terkena sumpahan dari seorang rakyat jelata yang bertubuh hitam. Dia telah dihukum bunuh oleh baginda Sultan akibat dihasut oleh fitnah dari seseorang.
Walaupun orang yang menyebarkan fitnah juga telah dihukum bunuh namun sumpahan mangsa teraniaya kepada baginda Sultan terhadap keturunannya merupakan suatu doa termakbul sebelum dia menemui ajal. Atas nasihat ahli nujum istana, sumpahan tuan puteri boleh dihapuskan dengan syarat tuan puteri tersebut perlu dipisahkan dari kerabat diraja buat selama-lamanya.
Dengan nasihat tersebut, baginda Sultan juga ingin berpindah keluar dari istana dan menjadi rakyat jelata agar baginda dapat melihat anaknya membesar di depan matanya. Sumpahan terhadap Dayang Senandong terhapus apabila dia melahirkan anak hasil perkahwinannya dengan Sultan Kamaruzzaman di luar kawasan istana.

Cerita Rakyat Melayu

Jika ditonton sepenuhnya filem Dayang Senandong yang diterbitkan dalam bentuk filem hitam putih tanpa warna pada tahun 1965, mungkin ramai yang berbahagi pendapat antara hanya sekadar cerita rakyat, serta bezanya dengan keadaan yang berlaku ketika ini.
Diteliti dengan terperinci, Dayang Senandong lebih kepada pembalasan terhadap perbuatan yang salah yang digaulkan dengan mitos serta kepercayaan lama. Tidak ada unsur penghinaan seperti 'Muka Hitam' yang berlaku di Amerika Syarikat.
Cerita-cerita rakyat tentang pembalasan baik dan jahat sentiasa jelas dibezakan tanpa ada garis tengah yang kabur. Yang jahat sangat jahat dan yang baik sangat baik. Malah boleh dikatakan semua cerita rakyat sama ada di Malaysia atau di negara lain juga bersifat sedemikian.

Sejarah 'Muka Hitam'

(Kredit Gambar: mwmblog.com)
Pertunjukan muka hitam (blackface minstrelsy) yang juga merujuk kepada blackface merupakan pertunjukan berbentuk teater. Bertujuan untuk membuat persembahan jenaka mempersenda, ianya dipersembahkan oleh sekumpulan penyanyi jalanan kulit putih dengan mewarnakan muka mereka berwarna hitam dan menghiburkan penonton dengan nyanyian dan tarian hamba abdi.
Menurut Adam Augustyn, Pengurus Editor untuk Encyclopaedia Britanicca, persembahan tersebut sangat popular di antara tahun 1850 hingga 1870 di Amerika Sharikat dan Britain.
"Walaupun blackface minstrelsy mula hilang daripada teater profesional dan hanya menjadi permulaan untuk persembahan-persembahan amatur, pengaruhnya masih ada di bidang seni dan media," tulis Adam.
(Kredit Gambar: Encylopaedia Britannica)
Encyclopaedia Britannica turut merujuk kepada dua lelaki kulit putih, Freeman F Gosden dan Charles J. Correll yang mengembangkan blackface daripada pertujukan minstrel kepada rancangan radio apabila mencipta dua karakter kulit hitam, Amos 'n' Andy.
Sebagai Amos dan Andy, karakter tersebut menjadi program paling popular di radio pada tahun 1930an. Pada tahun 1930, Gosden dan Correll muncul dalam filem Check and Double Check, berdasarkan karakter mereka di radio.
Rancangan radio Gosden dan Correll yang sebelum ini disiarkan setiap minggu berakhir pada tahun 1954, sebahagiannya disebabkan oleh kritikan ramai tentang jenaka mereka yang menyinggung perasaan kaum Afrika Amerika.

Pendapat Yang Berbelah Bagi

Di media sosial, rata-rata wargamaya memberikan pendapat yang berbelah bagi. Ada yang mengatakan ianya tiada berkaitan dengan apa yang berlaku di negara barat.
Menurut @thepatriotasia di akaun Twitter miliknya, dia meminta supaya tidak membawa budaya 'political correctness' di Malaysia.
"Lepas tu hari ni ada isu pasal Dayang Senandung dan Blackface. Kita sekarang hidup di Malaysia atau New York sampai nak bawa budaya political correctness negara sana ke sini sehinggakan cerita rakyatpun dilabel rasis?" tulis beliau.
@ErenaTakeuchi pula membuat penilaian bahawa Dayang Senandung adalah gabungan dua cerita rakyat popular.
"Dayang Senandung merupakan folklore Melayu yang merupakan gabungan dari dua cerita folklore popular, Cinderella dan Ugly Ducklings.
"Fokus topik folklore ini ialah tentang lookism, iaitu memandang paras rupa," tulisnya.
"Akhirnya saya membaca kisah Dayang Senandung. Masih di atas pagar tentang perkara ini. Di satu pihak ianya bukan rasis, dan blackface tidak ada sejarah stigma di Malaysia.
Di satu pihak lagi, ianya mengukuhkan stereotaip tentang kecantikan dan warna kulit dan tidak begitu sesuai dengan keadaan sekarang," tulis @crazycatmakcik
@IniAlannn juga percaya bahawa sebagai rakyat malaysia kita mempunyai budaya dan sejaarah kita sendiri.
"Tukar DP sebagai tanda sokongan untuk kisah dongeng Dayang Senandung. Tak perlu tunduk dengan perspektif barat, kita ada budaya dan sejarah kita sendiri.
Dunia bukan hanya ada mereka dari barat sahaja. Berhenti jadikan mereka sebagai 'focal point' untuk segalanya," tulis beliau.
Ketika artikel ini ditulis, masih lagi terdapat ramai wargamaya membincangkan tentang drama Dayang Senandung di sosial media dengan pelbagai pendapat masing-masing.

Tidak Kena Masa

Ramai juga yang berasakan tidak ada salahnya untuk menghasilkan cerita berdasarkan kisah rakyat. Namun ketika gerakan 'BlackLivesMatters' (BLM) yang semakin kuat sekarang ini, ia bukanlah masa yang sesuai untuk mempromosikan sesuatu yang boleh menyinggung perasaan mereka.
Biarpun BLM berlaku jauh daripada Malaysia, tetapi sebagai manusia, ramai rakyat Malaysia yang menyokong gerakan tersebut dan tentulah satu perkara yang tidak enak melihat ada rakyat Malaysia yang mempermainkan 'muka hitam'.
Isu tersebut mungkin datang daripada pelakon itu sendiri yang tidak peka dengan keadaan semasa dan seolah-olah tidak mengambil tahu hal-hal penting yang berlaku ketika ini.
"Dia mungkin hanya ingin mempromosikan dirinya. Mungkin berkongsi dengan peminat dan orang di luar sana bahawa dia dipilih sebagai pelakon utama untuk drama tersebut," kata seorang teman yang mengulas isu TikTok tersebut.
Kesilapannya hanya di situ kerana jika tidak diletakkan TikTok sebegitu, perkara ini tidak akan menjadi besar, tetapi nasi sudah menjadi bubur.

Teruskan Penggambaran

Penerbit Zeel Production Sdn Bhd, Fadzil Teh berkata pihaknya akan terus menyambung penggambaran untuk drama Dayang Senandung.
"Saya akan teruskan penggambaran drama ini kerana ianya telah mendapat kelulusan RTM untuk slot drama-drama dongeng.
"Tiada soal menghina sesiapa, sebaliknya drama ini sarat dengan pelbagai mesej, malah sejak dulu lagi watak Dayang Senandung dipaparkan sebagai wanita yang disumpah berkulit hitam," kata Fadzil kepada pemberita.
Zeel Production juga turut mengeluarkan kenyataan memohon maaf dilaman Instagram produksi tersebut selepas TikTok Wani Kayrie tersebar luas di media sosial.

Perlu Ubah?

Kita mempunyai banyak kisah-kisah rakyat yang dikongsikan sejak turun temurun. Ada daripadanya sudah dibukukan, difilemkan dan masih ada yang diceritakan hanya daripada penyampaian mulut ke mulut sebagai buaian tidur sewaktu kecil.
Namun perlukah kita mengikut cara industri perfileman barat yang menterjemahkan pelbagai cerita rakyat mengikut tafsiran mereka sendiri. Filem-filem seperti Cinderella, Sleeping Beauty, Hansel and Gretel dan banyak lagi diterjemahkan dalam pelbagai filem berbeza dengan jalan cerita yang berlainan.
Perkara yang mungkin jarang sekali dibezakan adalah watak ibu tiri yang sentiasa digambarkan sebagai watak jahat. Mungkin suatu hari nanti akan wujud gerakan ibu tiri yang mahu semua kisah-kisah rakyat ditukar supaya tidak lagi memaparkan mereka sebagai seorang yang bersifat jahat. Mana tahu? Tepuk dada, tanya selera.
#Kontroversi #Dayang Senandung
;