Jom Sertai Keluang Man Fun Run yang akan berlangsung pada 18 Mei 2025 dan berlari bersama Borhan! 
HIBURAN

Perlumbaan Sperma Pertama Dunia Tamat, Pemenang Bawa Pulang RM47,000

Umirah Halim 01/05/2025 | 21:55 MYT

Dunia hiburan dan sains digemparkan dengan acara luar biasa apabila perlumbaan sperma pertama di dunia berlangsung di Los Angeles Center Studios, Amerika Syarikat, pada 25 April lalu.

Acara dikenali sebagai Sperm Racing itu memperlihatkan peserta lelaki dewasa menghantar sampel sperma mereka untuk “berlumba” dalam litar mikro sepanjang 20 sentimeter yang direka menyerupai sistem reproduktif wanita.

Lebih menarik, perlumbaan ini disiarkan secara langsung lengkap dengan ulasan pengulas sukan, papan kedudukan, serta tayangan semula.

Malah, penonton turut dibenarkan membuat pertaruhan atas keputusan perlumbaan tersebut.

Pemenang perlumbaan, Tristan Milker yang juga pelajar dari Universiti California, Los Angeles (UCLA), berjaya mengalahkan peserta lain dan membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak USD10,000 (kira-kira RM47,000).

Menurut pengasas bersama Sperm Racing, Eric Zhu, acara ini bertujuan meningkatkan kesedaran terhadap isu kesuburan lelaki yang semakin membimbangkan.

“Kami mahu jadikan kesuburan lelaki satu topik yang dibincangkan secara terbuka, dipantau dan diambil tindakan untuk diperbaiki,” katanya.

"Berdasarkan kajian, kadar sperma lelaki secara global telah menurun lebih 50 peratus sejak 1973, yang disebabkan oleh pelbagai faktor termasuk gaya hidup dan pencemaran alam sekitar,” katanya dalam satu kenyataan media.

Acara unik itu juga berjaya menarik pelaburan dan sumbangan mencecah USD1.5 juta (sekitar RM7 juta), sekaligus membuktikan bahawa kesihatan reproduktif lelaki kini mendapat perhatian serius.