Pelakon Datin Elvina Mohamad mengakui fobia bermain bunga api apabila pernah menyebabkan rambut sepupunya terbakar suatu ketika dahulu.

Kejadian itu membuatkan Elvina serik dan cuba menjauhkan diri daripada bunga api yang menjadi kelaziman setiap kali tibanya Syawal.

"Ketika kecil saya suka bermain bunga api namun pernah suatu ketika saya tercampak bunga api dan terkena rambut sepupu lelaki saya.

"'Tobek' rambut dia gara-gara saya. Sudahlah kejadian itu berlaku pada malam raya, bayangkan esoknya nak beraya dengan rambut yang terbakar.

"Saya rasa sangat bersalah dan melarikan diri balik rumah, tetapi alih-alih kena rotan juga.

"Sebab itu sekarang kalau terkena api sikit pun dah takut," katanya kepada Gempak.

Sementara itu, berkongsi kisah lebaran kali ini Elvina merancang untuk beraya di Kuala Lumpur terlebih dahulu sebelum pulang ke Teluk Intan, Perak, pada hari raya ketiga.

"Bagi saya erti raya adalah kemaafan. Itulah masa yang paling dinanti-nantikan untuk bertemu dengan keluarga yang jauh terpisah.

"Ini sambutan Aidilfitri pertama dengan kehadiran cahaya mata dan pastinya saya sangat teruja," ujarnya yang menempah empat pasang baju raya pada tahun ini.

Elvina atau nama sebenarnya Norazlina Mohamad, 24, mendirikan rumah tangga bersama seorang usahawan Datuk Mohd Haniff Borhan pada 18 Mac 2018 dan dikurniakan seorang cahaya mata, Karl Mateen pada Disember tahun lalu.