Pernah Bantu Lunas Hutang RM75,000, Inul Terhutang Budi Dengan Titiek Puspa
Penyanyi dangdut terkenal Indonesia, Inul Daratista, meluahkan rasa sedih dan terkesan atas pemergian penyanyi legenda negara itu, Titiek Puspa, yang meninggal dunia pada Khamis lalu.
Inul berkata, beliau amat rapat dengan Titiek memandangkan Allahyarham merupakan individu yang sering membantunya ketika berdepan kesusahan hidup.
Mengimbau kenangan bersama Titiek, Inul mendedahkan Allahyarham pernah menyelamatkan dirinya sewaktu beliau hampir berputus asa bergelar seorang penyanyi.
"Saya pernah pengsan sebab tiada duit membayar sewa rumah. Saya tak ada apa-apa dan mahu pulang ke kampung.
"Bagaimanapun arwah ajak saya cari duit bersama-sama dengan mengikutnya mengadakan persembahan selama dua bulan sekali gus membolehkan saya membayar sewa rumah bernilai 285 juta rupiah (RM75,000) sebulan," katanya dalam satu kenyataan.
Jadi tidak hairanlah jika Inul sering menemani Titiek sepanjang ditahan di wad hospital sebelum disahkan meninggal dunia pada petang Khamis lalu.
Bagaimanapun, Inul melahirkan rasa terkilan kerana tidak dapat berada di sisi Titiek di saat artis veteran tersebut menghembuskan nafas terakhir.
Jelasnya, ini kerana ketika itu beliau pulang sebentar ke rumah bagi menukar pakaian.
"Saya bersyukur kerana ketika dia sedang sakit, saya boleh menemaninya sejak hari pertama di hospital.
"Apa membuatkan saya sedih pagi tadi (Khamis), saya pulang ganti baju. Baru selesai memasak untuk suami saya dapat khabar arwah meninggal dunia," katanya.
Sumber: Astro Awani menerusi Sinar Harian