Laman Utama
Pernah Bidik Foto TRX, Najib Ucap Takziah Kematian Jurugambar Profesional 'Syafiq Anak Saleh'
Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menzahirkan ucapan takziah kepada jurugambar profesional Shafiq Saleh yang meninggal dunia pada Selasa.
Menerusi hantaran di media sosialnya, Najib menyifatkan Shafiq sebagai seorang jurugambar yang punyai kemahiran yang hebat.
"Saya diberitahu ada seorang kenalan saya telah meninggal dunia.
Saya percaya ramai di sini juga kenal saudara @shafiqanaksaleh . Seorang jurugambar profesional.
"Pernah berjumpa dan makan-makan bersama dahulu dengan jurugambar profesional lain.
"Gambar-gambar dan idea-idea di sebalik setiap foto yang dirakamkannya amat menarik. Sering kali mempamerkan pembangunan Malaysia juga," kata Najib.
Malah, beliau turut kagum dengan salah satu foto hasil bidikan Shafiq iaitu bangunan pencakar langit The Exchange 106 di Tun Razak Exchange beberapa tahun lalu.
"Pernah lihat gambar The Exchange 106 di TRX yang diambilnya. Cantik! Nak dapatkan foto yang berkualiti juga perlukan setting dan masa yang lama.
"Sedih mendapat tahu pemergian arwah.
"Semoga roh arwah dicucuri rahmat dan ditempatkan bersama mereka yang beriman. Al-Fatihah," tulisnya.
Shafiq, 29, meninggal dunia pada awal pagi Selasa akibat jangkitan kuman dalam otak selepas disahkan menghidap hydrocephalus, keadaan yang mana tekanan dalam kepala yang terlampau tinggi.
Allahyarham pernah terbabit dalam pembikinan muzik video Jiwa Pusing (Tuju) dan Kita Move (K-Clique).
Malah, Allahyarham juga terlibat dalam beberapa projek khas bersama artis-artis popular tanah air antaranya Nabil Ahmad, Nabila Huda, Joe Flizzow dan ramai lagi.