Aktres hebat Sharifah Amani menentang penutupan sementara Crackhouse Comedy Club selepas kelab bagi pelawak-pelawak solo (stand up) itu terpalit kontroversi membabitkan seorang individu.

Menurut Amani, 36, menerusi satu ciapan di Twitter, memaklumkan dia sendiri pernah membuat persembahan dan sering hadir menyaksikan pelawak-pelawak solo ini beraksi di kelab tersebut.

Tambahnya, selain tempat untuk mempamerkan bakat, dia bersama ahli keluarganya turut pernah meraikan ulang tahun kelahiran mereka di lokasi tersebut.

“Tempat berbilang kaum datang to laugh at ourselves. Saya pernah perform dan menonton banyak sesi improv dan stand up comedy di @CrackhouseKL.

Celebrate birthday family pun ada. Ini bukan salah Crackhouse ini salah individu,” tulisnya menerusi satu ciapan.

Jelas pelakon filem Mukhsin itu lagi, penutupan kelab tersebut tidak adil memandangkan ia hanya melibatkan seorang individu dan bukannya keseluruhan perniagaan.

“Tolonglah bersikap adil, lokasi-lokasi seni tempatan ini sendiri tengah bergelut,” ujarnya lagi.

Minggu lalu, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bertindak menghentikan sementara operasi premis berkenaan sehingga siasatan selesai.

Pada Isnin, aktor dan pengarah Datuk Afdlin Shauki turut membangkang penutupan sementara kelab tersebut.

Bukan itu sahaja, penyampai radio dan pelawak Douglas Lim juga menegaskan bahawa lokasi kejadian iaitu Kelab Komedi Crackhouse di Taman Tun Dr. Ismail (TTDI) tidak sepatutnya disalahkan.

Terdahulu, paparan video berdurasi 54 saat yang menunjukkan seorang wanita tampil berpakaian sopan tiba-tiba menanggalkan pakaiannya dalam satu acara komedi di premis berkenaan tular di media sosial.