Penyanyi dangdut popular Indonesia, Inul Daratista mengimbas kembali zaman saiz tubuhnya yang lebih berisi berbanding sekarang.

Menurut Inul, berat badannya ketika itu mencecah 85 kilogram dan banyak baju yang tidak muat untuk dipakai.

"Saya tidak akan pernah melupakan ketika badan saya naik sampai 85kg!

"Baju pun semua tak muat untuk dipakai ketika itu, duit banyak pun tak berpengaruh kesannya jika kita tidak menarik," kongsinya di Instagram.

Menyedari waktu dan kehidupan masih panjang, justeru penyanyi lagu Goyang Inul ini telah berusaha keras untuk kembali kelihatan seperti yang dimahukan.

"Saya sedar hidup masih panjang, saya fikir tentang kerjaya, saya harus kelihatan menarik untuk terus berkarya.

"Maka saya cuba bermacam-macam, belly dance, fitness, muaythai, thai boxing hinggalah yoga.

"Biar saya kurus begini sekarang, tetapi masih berupaya untuk 'membanting' orang," selorohnya.

Pada masa yang sama, Inul menegaskan bahawa tiada perkara yang akan sia-sia jika seseorang itu berusaha.

"Tidak ada yang sia-sia jika seseorang itu berusaha, apapun, jangan mudah menyerah," kongsinya lagi.

Bagaimanapun, Inul tidak menyatakan secara terperinci mengenai tahun dia mengalami peningkatan berat badan itu.

Perkongsian itu mendapat perhatian daripada ramai pengikutnya.

Rata-rata mereka memuji semangat yang dimiliki Inul serta kelangsingan tubuhnya sekarang.

A post shared by Inul Daratista (@inul.d)