Pernah Dianggap 'Tak Cukup Putih Nak Jadi Artis', Yuna Kini Bangga Dengan Warna Kulitnya

Kamaruddin Razal
April 13, 2018 14:00 MYT
Adakah kecantikan itu hanya layak kepada mereka yang memiliki warna kulit putih dan cerah?
Jika jawapan di atas adalah benar, Yuna tampil membidas kenyataan tersebut dalam satu perkongsian di Instagram miliknya yang dimuat naik baru-baru ini.
"Saya berbangga dengan kulit sawo matang saya, saya juga berharap wanita di sana turut berbangga dengan warna kulit anda kerana setiap tona kulit adalah satu kecantikan," katanya dalam kapsyen gambar tersebut.
Yuna juga berkongsi pengalamannya sewaktu dia berada di awal kerjayanya dalam industri hiburan, di mana dirinya dipandang rendah kerana tona kulitnya yang kurang cerah.
"Sewaktu di awal karier saya dalam industri hiburan tempatan, mereka kata saya tak cukup putih untuk menjadi artis ketika saya membuat penampilan dalam majalah.
"Saya akui dan percaya akan kenyataan itu, hinggakan saya sanggup elakkan diri berada di bawah matahari supaya tak bertambah gelap," luahnya.
Namun, kini pandangan Yuna telah berubah bahawa wanita tetap cantik tidak kira warna kulit.
Perkongsian gambar potretnya dalam Instagram itu merupakan penampilannya dalam majalah wanita Tonal Journal keluaran isu pertama, di mana Yuna kongsikan tips penjagaan kulit dengan minum air putih yang banyak untuk mengekalkan hidrasi dan kesegaran kulit.
Terkini, penyanyi kelahiran Kedah itu sedang menyiapkan album terbarunya yang menjadi koleksi album keempat dan bakal dilancarkan di Amerika Syarikat pada tahun ini.
Sumber: Astro Awani
#Penyanyi #Yuna #Penyanyi