Penghibur terkenal Colombia, Shakira baru dinobatkan dengan anugerah Video Vanguard Award di MTV Video Music Award 2023 (VMA).

Video Vanguard Award adalah anuegrah sama seperti Lifetime Achievement Award atau pencapaian sepanjang hayat dalam anugerah-anugerah yang diadakan.

Penganugerahan tersebut menjadikan Shakira sebagai artis pertama dari Amerika Selatan yang menerima pengiktirafan tertinggi itu.

Menerima anugerah tersebut dengan penuh teruja, Shakira yang juga membuat persembahan pada VMA mengatakan tidak percaya akan diiktiraf dengan Video Vanguard Award.

“Sukar untuk mempercayainya. Ini adalah pengiktirafan yang sangat luar biasa. Hanya artis hebat seperti Michael Jackson yang layak dan pernah menerima ini.

“Saya sangat bahagia kerana telah diiktiraf seperti ini,” ujarnya seperti dilaporkan Billboard.

Pengiktirafan yang diraih juga mengingatkan penyanyi yang cukup fenomena dengan lagu Hips Don’t Lie itu pernah dilabel bersuara kambing.

Menerusi temubual beberapa tahun silam, Shakira mengatakan pernah ditolak guru untuk menyertai kelas koir.

“Cikgu kata suara saya tidak sedap. Saya ditolak masuk ke kelas koir. Malah saya diejek kerana dikatakan memiliki suara seperti kambing,” dedahnya.

Meski pernah diejek, dengan sokongan bapanya Shakira merintis karier sebagai penyanyi.

Kini, bukan hanya menjadi penyanyi yang telah memenangi pelbagai anugerah, album Shakira juga telah terjual lebih 80 juta unit di seluruh dunia.