Penasihat DAP, Lim Kit Siang mengakui dirinya pernah didakwa dengan pelbagai tuduhan sebelum ini.

Menurut Kit Siang, dia mahu pembangkang di negara ini terus kuat dalam melakukan semak dan imbang dalam sistem demokrasi di negara ini.

Jelas Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu, dia masih mempunyai harapan yang meninggi pada parti Barisan Nasional (BN).

"Ada propaganda yang kata bahawa kita (DAP) orang jahat. Saya didakwa sebagai hantu, iblis dan lain-lain lagi.

"Saya rasa tak pernah buat tuduhan pemimpin UMNO sebagai anti-Cina atau anti kepada agama-agama lain, tetapi saya dituduh sebagai anti-Melayu dan anti-Islam. Itu silap.

"Macam sekarang saya tidak mahu MCA atau BN mati, saya harap mereka boleh bergiat supaya demokrasi boleh lahir.

"Demokrasi perlu semak dan imbang yang mana bukan sahaja kita perlu ada mekanisma dalam parti-parti yang memerintah, tapi kita perlukan satu pembangkang yang kuat dan sihat, ada media dan masyarakat sivil yang boleh bersuara," katanya.

Jelas beliau, intipati yang penting untuk menjadi pembangkang yang kuat adalah untuk terus belajar daripada setiap kekalahan atau kelemahan yang dihadapi.

"Saya rasa kita semua bukan sahaja DAP, semua parti (Pakatan Harapan), semua pemimpin politik termasuk Tun Dr Mahathir, Datuk Seri Anwar, Mohamad Sabu kami semua belajar.

"Kita perlu lebih sensitif, waras dan sesuatu yang kita katakan proses pembelajaran yang mana ia lebih untuk Malaysia.

"Tapi saya kesal kerana nampaknya pemimpin-pemimpin parti yang kalah ini tidak mahu belajar," katanya.

Ikuti temu bual eksklusif Timbalan Ketua Pengarang Astro AWANI, Kamarul Bahrin Haron bersama Kit Siang dalam '100 Hari Malaysia Baharu' pada pukul 9.30 malam ini (Jumaat).

Sumber: Astro Awani

Foto: Google