Hiburan

Pernah Diharamkan Beraksi, Singapura ‘Dilanggar’ & Ditawan Search

gempak
Maliah Surip
21/01/2024
06:52 MYT
Sponsor Banner
Pernah Diharamkan Beraksi, Singapura ‘Dilanggar’ & Ditawan Search
Diserbu dan menerima laungan we want more, we want more, we want more yang bergema sehingga membuatkan anggota kumpulan Search kemudian memutuskan si vokalis Datuk Amy mendendangkan Laila Namamu Teratas tanpa iringan muzik bukan akhir sebuah konsert yang sukses secara kebetulan.
Malam itu, Concert Search Fantasia Bulan Madu Live In Singapore yang dianjurkan Musepluz.biz di The Star Performing Arts Center adalah satu malam edan dan penuh epik.
Search memang sebuah kugiran legenda yang bagaimana cuba untuk ‘dihitamkan’, ia tetap wujud dan menakluk serta tidak boleh dipisahkan daripada para pencinta yang telah sekian lama setia bersama mereka.
Ya, klise untuk mengatakan persembahan panggung dari Search itu sebagai mantap, terbaik atau semua perkara yang menjurus kepada konotasi positif.
Namun jika itu faktanya (mantap dan luar biasa sukses), maka tidak ada yang boleh menafikan situasi tersebut.
Concert Search Fantasia Bulan Madu Live In Singapore memang benar-benar luar biasa sukses.
Ia sebuah konsert yang ringkas tetapi melihat empat individu dengan semua sudah melewati usia 60 tahun memainkan lagu ‘keras’ dan melankolik bersama balutan permainan cahaya bersama sistem bunyi yang padu, ia menjadi tahun pembuka 2024 yang baik buat Search.
Amy saat bertentang mata, seperti biasa melontarkan persoalan ringkas kepada penulis: “Amacam okay tak?” Dan saya pulangkan kembali soalan kepada beliau: “Abang puas hati?” Lalu diangguk dengan gaya tersendirinya sambil tersenyum lebar.
Masakan tidak sukses. Masakan tidak meninggalkan impak dan menjadi malam epik jika 5,000 peminat yang hadir bagai terkena histeria saat Search yang dikuatkan dengan kepakaran pemuzik mereka iaitu Nasir, Man Kidal, Hillary Ang berjaya membuat peminat larut dalam persembahan mereka.
Jujurnya tiada yang berlebihan dalam konsert tersebut. Yang menjadikan ia sebagai momen bersejarah dan luar biasa adalah kerana kehadiran Search yang diterima cukup antusias oleh para peminat di Kota Singa.
Jika kata Gerek Seyyy yang sinonim dengan rakyat Singapura boleh diguna pakai, begitulah sikap peminat menghargai Search dalam 40 tahun kewujudannya dalam belantika muzik Nusantara. Mereka disayangi, dihargai dan dihormati sebagai pemuzik yang telah banyak memainkan peranan penting (emosi) dalam sebahagian kehidupan mereka.
Dan paling penting adalah sejarah yang pernah dicetak Search di Singapura yang langsung tidak asing buat kugiran legenda ini.
Di Singapura, album-abum Search dirakamkan dan kembali ke republik tersebut setelah kali pertama bermain sekitar tahun 1989 menurut Amy adalah sebuah keterujaan tanpa pengakhiran.
“Dulu Search pernah diharamkan bermain di Singapura kerana rock. Tapi lagu Isabella telah membolehkan kami pertama kali masuk bermain di Singapura.
“Waktu itu di Sentosa dan kini Search kembali ke sini dengan momen yang magis seperti ini,” katanya sebelum disambut sorak sorai peminat sebaik beliau mendendangkan hit ‘berhantu’ tersebut.
Bersama Isabella, Search membuat peminat yang kebanyakannya seusia hampir semua anggota kugiran ini dan masuk dalam kategori warga emas ikut tersenyum sambil tidak dapat menahan diri berdiri dan menyanyi lagu-lagu yang dipersembahkan seperti Mentari Merah Di Ufuk Timur, Rozana, Gadisku, Fenomena, Diari Qabil & Habil, Sebatang Tongkat Untuk Berdiri, Meniti Titian Usang dan Pawana serta Fantasia Bulan Madu.
Amy malah membuat peminat tak keruan apabila turun dan masuk ke dalam kerumunan lalu menghiburkan mereka dengan stailnya tersendiri. Pesona Amy, sang legenda berusia 66 tahun itu bukan hanya pada vokal tapi gaya flamboyant dan membumi yang tidak pernah lekang daripada dirinya.
“Dulu arwah mak saya pesan jangan sombong dengan peminat. Jika mereka mahu bergambar, layan.
“Bayangkan pernah satu kali raya ada peminat wanita beri nombor telefon dan Mak paksa saya telefon sebab tak mahu saya sombong dengan peminat. Mak kata ini yang saya mahu jadi saya kena layan dengan baik.
“Dan kerana korang (peminat), Search masih di sini. Allah bagi rezeki kami melalui korang, terima kasih,” luah Amy penuh syukur.
Untuk kesekian kalinya, penulis suka mengatakan Concert Search Fantasia Bulan Madu Live In Singapore cemerlang. Kredit harus diberikan kepada penganjur dan seluruh tim yang merealisasikan konsert ini.
Search malam itu juga akan terus disayangi. Bukan kerana mereka sebuah kugiran yang menagih simpati atau menjual populariti kosong tetapi kerana karya-karya yang dihasilkan karyawan seni seperti S. Amin Sahabat dan Datuk M Nasir atau Allahyarham Loloq adalah berkualiti dan mempunyai integriti tinggi dalam dunia muzik tempatan.
Dirgahayu Search. Semoga generasi kini menghargai betapa besar pengaruh sebuah kugiran bernama Search yang perlu dihormati dan dijadikan rujukan dalam bermuzik.
Topic Berkaitan
Must-Watch Video
Gempak Non Stop Live