Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!

Pernah Dilanda Musibah Banjir, Afieq Shazwan Trauma Setiap Kali Hujan - “PS4 Saya Rosak…”

Izwan Isa
23/03/2022 07:50 MYT
Masihkah anda ingat mengenai musibah banjir yang melanda Malaysia terutamanya sekitar Kuala Lumpur dan Selangor pada Disember tahun lalu?

Selain mangsa-mangsa yang terkandas di jalan raya akibat air naik dengan mendadak, terdapat juga sejumlah individu yang mengalami kerugian ribuan ringgit selepas kediaman mereka dinaiki air.

Hal yang sama turut dilalui oleh penyanyi Afieq Shazwan. Peserta program Big Stage musim pertama itu berkata, selepas rumahnya yang terletak di Klang turut dinaiki air, dia mengalami trauma setiap kali turunnya hujan.

“Sejak menempuh pengalaman banjir tempoh hari, saya menjadi sedikit trauma terutamanya apabila hujan turun, terutama apabila berjauhan dari rumah.

“Walaupun hujan itu di tempat lain, namun saya akan sentiasa hubungi ibu, bertanya adakah hujan turun juga di kawasan rumah,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Kongsi Afieq, sungguhpun pernah ditimpa musibah banjir, namun, dia tidak berhasrat untuk berpindah ke kawasan lain memandang rumah kediamannya itu sudah dianggap sebagai rumah kampung.

“Memang kena tinggal sana kerana itu rumah kampung. Lagipun saya tinggal dengan ibu saya. Insya-Allah, kalau ada rezeki tahun ini, saya memang nak beli rumah. Doa-doakanlah ya.

“Cuma saya tidak akan bawa emak berpindah sekali. Katakanlah berlaku sekali lagi musibah yang sama, sekurang-kurangnya kami ada tempat berteduh yang lain,” ujarnya lagi.

Ditanya berapakah kerugian yang dialami selepas banjir surut, Afieq berkata: “Ada beberapa barang berharga seperti PS4 saya rosak akibat banjir. Selain itu, barang-barang dalam bilik saya turut sama terkesan.

“Barangan yang saya belikan untuk ibu juga tidak dapat diselamatkan. Tidak mengapalah, masih ada benda-benda yang boleh digunakan.

“Lain kali, kami akan sentiasa bersedia dengan meletakkan barang-barang berharga di tempat yang lebih tinggi,” katanya lagi.
#Banjir #Afieq Shazwan #Kerugian #PS4
;