Pernah Disamakan Seperti Khinzir, Sampai Lihat Cermin Pun Rasa Jijik Dengan Diri Sendiri - Aiman Zaim

Rozaimi Zubaidi
September 18, 2017 06:45 MYT
Finalis Hero Remaja 2017, Aiman Zaim mengakui dirinya pernah disamakan seperti kinzir kerana mempunyai berat badan yang berlebihan.
Bagaimanapun kata Aiman, 21, perkara itu tidak menjadi halangan untuk dia menyimpan hasrat bergelar hero remaja meskipun pernah kecewa dengan kritikan yang diberikan oleh orang sekeliling.
"Sebenarnya saya pernah mempunyai berat badan berlebihan sehingga 115 KG dan disebabkan itu ada juga yang enggan mendengar pendapat saya.
"Mereka menganggap saya hanya layak untuk bersuara dengan haiwan seperti khinzir sahaja.
"Tak dinafikan bahawa ejekan merupakan makanan harian saya dan apa sahaja yang dilakukan oleh saya semuanya dianggap salah.
"Sampaikan pada satu tahap bila lihat cermin pun rasa jijik dengan diri sendiri.
"Disebabkan ejekan itu jugalah saya tanamkan azam untuk kurus dan tidak mahu lagi dipandang hina oleh masyarakat.
"Saya mengambil masa selama tiga bulan untuk turunkan berat badan dengan melakukan senaman setiap hari dan kini berat badan saya sudah 70 KG.
"Jujur saya katakan bukan mudah nak mengubah diri tetapi kalau ada keazaman yang kuat perkara itu tidak mustahil.
"Terima kasih kepada mereka yang mengejek saya dahulu, kerana mereka saya dapat capai apa yang diinginkan sekarang," katanya kepada Astro Gempak.
Aiman Zaim berkata demikian ketika ditemui pada rakaman program Hero Remaja yang diadakan di Karangkraf, Shah Alam, baru-baru ini.
Untuk mengetahui perkembangan terbaharu mengenai finalis-finalis Hero Remaja, jangan lupa saksikan rancangan Hero Remaja 2017, setiap hari Khamis pada pukul 9 malam, di salauran Astro Ria (saluran 104) dan Ria HD (saluran 123).
Sementara itu, penonton juga boleh menyaksikan 'Hero Remaja x Astro Gempak' secara digital di laman web Astro Gempak.
Teks Oleh: Rozaimi Zubaidi
#Aiman Zaim #Hero Remaja 2017