Pernah Disihir & Bisnes Restoran Kena ‘Buatan Orang’, Illa Sabry Tak Patah Semangat – “Teruk Sangat Sampai Saya Reda Jika Meninggal Ketika Itu”
Restoran Kena Buatan Orang
Menurut Illa, dia mengalami perkara-perkara mistik tersebut adalah disebabkan buatan jahat orang terhadapnya dan perniagaan.
“Orang buat pun ada seperti hantar benda mistik. Saya hairan, buka lampu tapi orang tak nampak kedai langsung sedangkan kedai buka.
“Di kedai lain pula, saya tengah bersihkan kedai kemudian nampak ulat-ulat yang banyak tetapi bukan.
“Itu orang ‘hantar’ benda. Buat apa nak dengki, jangan begitu ya,” kongsinya kepada Gempak.
Sakit Teruk, Reda Jika Meninggal Dunia
Dedah peserta Gegar Vaganza musim ke-11 (GV) itu lagi, dia juga pernah disihir sehingga mengalami sakit yang teruk selama lebih sebulan.
“Saya juga pernah kena, ketika itu saya berniaga, teruk sangat hingga saya malas nak buat kerja, nak jumpa orang.
“Sentiasa muntah dan tiada selera makan. Ayah saya ada ilmu merawat, dia cuba sembuhkan saya tetapi tak berhasil.
“Sebulan setengah juga saya di rumah ibu ketika itu, saya reda kalau meninggal sebab terlalu sakit.
“Saya tak tahu siapa yang buat tapi boleh agak, Alhamdulillah saya sembuh selepas ayah saya rawat,” ceritanya.
Tak Patah Semangat Berniaga
Akui penat dengan pelbagai dugaan, pelantun lagu Keranamu Kekasih itu menyifatkan perkara tersebut sebagai suatu pengajaran.
“Perkara tersebut mengajar saya dalam bidang perniagaan. Banyak kedai saya buka tetapi ada juga yang sudah tutup operasi.
“Ia tidak mematahkan semangat sebab ia minat saya,” ujarnya yang mula menguruskan perniagaan restoran Cik Gebu sejak 2020.