Laman Utama

Pernah Ditipu Ketika Mula Jadi Artis, Ahmad Adly Tak Pernah Putus Asa

gempak
Syafiqah Jalal
21/08/2021
07:50 MYT
Sponsor Banner
Pernah Ditipu Ketika Mula Jadi Artis, Ahmad Adly Tak Pernah Putus Asa
Pendatang baru Ahmad Adly mendedahkan dirinya pernah ditipu oleh beberapa individu dalam industri hiburan ketika mula menapak dalam dunia seni nyanyian pada tahun 2017.
Menurut Adly, 21, dia pernah dijanjikan bulan bintang oleh satu pihak tapi tidak dilunaskan sehingga kerugian wang ringgit.
“Ya saya pernah melalui pengalaman perit ketika mula menapak dalam industri ini kerana ditipu oleh beberapa orang.
“Saya tidak berniat untuk bercerita lanjut cukuplah saya kata pernah ditikam belakang serta kerugian sejumlah wang.
“Dari situ saya mula berhati-hati dan mendapat pembelajaran dari apa yang berlaku. Malah saya tidak pernah berputus asa untuk meneruskan kerjaya nyanyian ini,” katanya.
Adly berkongsi perkara tersebut ketika sesi temubual secara alam maya untuk pelancaran single Nota Hasratku.
Mengulas mengenai single terbaharunya itu, Adly memberitahu ia boleh dikaitkan dengan kisah pahit yang dialami seseorang termasuk pandemik yang melanda negara kini.
“Seperti mana yang kita semua tahu pelbagai dugaan yang dihadapi sampai ada yang terganggu emosi sampai sanggup membunuh diri. Semuanya kerana tekanan dihadapi sehingga ada yang tidak mampu melaluinya lagi.
“Tapi disebalik ujian dan dugaan percayalah ada sinar juga menanti. Anda tidak keseorangan dalam menghadapinya memandangkan masih ramai yang mahu membantu. Jadi, jangan sesekali bersendirian dan carilah jalan untuk keluar daripada masalah tersebut,” katanya.
Nota Hasratku sudah pun dilancarkan secara rasmi pada 6 Ogos di semua platform digital dan YouTube Indigital Music.
Untuk rekod, lagu ini merupakan kerjasama antara Indigital Music dan Alternate. Lagu ini juga menjadi runut bunyi kepada drama Lelaki Pendosa.
Topic Berkaitan
Must-Watch Video
Gempak Most Wanted Awards 2024