Setelah 10 tahun bergiat dalam industri hiburan, pelakon Saharul Ridzwan kini menceburkan diri dalam bidang perniagaan.

Menurut Saharul, pandemik COVID-19 dan tawaran lakonan yang kurang adalah faktor dia mengasaskan perniagaan haruman aromatik, Ode Scents.

"Disebabkan pandemik ini, tawaran lakonan pun kurang, dari situ saya fikir untuk menjalankan perniagaan dan fikir apa yang paling sesuai.

"Sebelum ini saya pernah berniaga beberapa kali, tetapi gagal. Saya pernah berniaga serunding tetapi tak berjaya dan mengalami kerugian.

"Kali ini, saya perlu jalankan perniagaan ini dengan baik dibantu bimbingan rakan kongsi saya, Nadzir Samsuddin yang mempunyai pengalaman dalam perniagaan haruman," katanya.

Saharul berkata demikian dalam sidang media virtual sempena melancarkan perniagaannya itu pada malam Jumaat.

Tambah Saharul, dia juga telah mengeluarkan modal sebanyak RM250,000 bersama rakan kongsinya itu untuk perniagaan tersebut.

"Saya telah mengeluarkan modal sendiri bersama rakan kongsi, apa yang boleh saya katakan, modal yang telah dikeluarkan adalah sebanyak RM250,000 setakat ini.

"Dalam perniagaan, apa yang saya belajar adalah lakukannya sampai jadi, kalau tak jadi, kita cuba lagi sampai jadi," katanya lagi.

Produk Ode Scents milik Saharul sesuai digunakan sebagai haruman kediaman dan kereta. Ia terdiri daripada lima jenis haruman iaitu Island Escape, Perfect Peony, English Fresia, Summer Dream dan Wild Fig.