Umum mengetahui penyanyi dan pelakon, Alif Satar pernah dijangkiti wabak COVID-19 sekitar November tahun lalu.

Berkongsi pandangan sebagai seorang 'bekas' pesakit terhadap kes yang masih tinggi di negara kita, Alif menekankan aspek pematuhan standard operasi standard (SOP).

"Kita harus patuhi SOP kemana pun kita pergi, bagi saya, apa yang kerajaan tetapkan, kita ikut sahaja," katanya ringkas.

BACA: Alif Satar Positif COVID-19; "Saya Mohon Maaf, Doakan Saya"

Dalam pada itu, Alif juga menyedari tuntutan kerjaya dan aktiviti harian keluarganya juga memberi cabaran tersendiri dalam tempoh pandemik ini.

"Saya ada anak-anak yang perlu ke sekolah, isteri yang tidak bekerja, saya harus fikirkan tentang mereka.

"Pada masa yang sama, tuntutan kerja saya pula memerlukan saya keluar dan berjumpa ramai orang.

"Jadi, ia agak mencabar dalam tempoh pandemik ini," katanya lagi.

Dalam perkembangan lain, Alif bersama kumpulannya The Locos baru sahaja melancarkan lagu raya berjudul Lagu Raya.

Selebriti versatil ini berharap agar pemilihan tajuk lagu tersebut memudahkan lagu raya mereka ditemui dalam carian di internet.

Muzik video rasmi Lagu Raya sudah mula ditayangkan di YouTube sejak enam hari lalu.

Jangan lepaskan peluang menyaksikannya!