HIBURAN

Pernah Jadi Mangsa Buli, Amin Abid Terpaksa Pindah Sekolah - " Level Dia Sampai Rasa Diri Ni Useless..”

Asyraf Roslan 15/08/2025 | 01:55 MYT
Pempengaruh, Amin Othman mendedahkan dia dan pasangan kembarnya, Abid Othman pernah melalui pengalaman hitam apabila menjadi mangsa buli sewaktu zaman persekolahan.

Menerusi hantaran di Instagram Stories, Amin berkongsi mereka berdua pernah dibuli secara fizikal dan mental sehingga menjejaskan semangat untuk belajar dan meninggalkan kesan trauma yang mendalam.

“Siapa sangka kamu juga pernah menjadi mangsa buli, datang dalam dua bentuk iaitu buli fizikal dan mental. Level dia sampai rasa diri ni useless dan tak ada semangat untuk belajar mungkin dengar simple tapi boleh bawa kepada trauma seseorang seumur hidup.

“Kepala adik (Abid) kena hentuk kat bucu meja, kuat tak kuat sampai luka dan bengkak. Time tu boleh nampak mata adik berair tahan sakit, nak lawan tapi pembuli ni ada geng-geng dorang yang boleh pukul kita, mereka suka oranh yang lemah.

“Kata-kata kesat dan cerca mereka takkan kami lupa lagi-lagi tuju pada keluarga kami sampai menitik air mata punya sakitnya kata-kata itu,” tulis Amin.

Bagi mengelakkan terus menjadi mangsa, Amin dan Abid mengambil langkah untuk berpindah ke sekolah baharu.

Jelas Amin, itu adalah langkah terakhir yang mereka perlu ambil bagi menjaga keselamatan mereka.

“Cara kami elak kena buli adalah tidak layan pembuli ini, lawan kalau dah melampau sangat dan yang terakhir pindah sekolah. Bila kami hijrah rupanya ramai yang sayang dan appriciate bakat kami, terima buruk baik kami.

“Kita bukan tak berguna cuma kita salah duduk tempat. Kalau duduk ditempat yang betul, you will glow in your own way,” tambahnya.
#Mangsa buli #Amin Abid