Laman Utama
"Pernah Jumpa Belakang Pentas..." - Krisdayanti Belum Kenal Bakal Menantu Secara Peribadi
Seperti diketahui ramai peminat, personaliti media sosial Indonesia, Atta Halilintar bakal mengahwini anak penyanyi tersohor Krisdayanti iaitu Aurel Hermansyah.
Memetik laporan media di negara itu, sehingga kini, Atta masih belum bertemu bakal ibu mertuanya itu secara peribadi dan menurut Krisdayanti, dia juga masih belum mengenali jejaka itu dengan sebetulnya.
"Saya pernah bertemu Atta di sebuah acara sahaja, ketika di belakang pentas sekitar tahun lalu, dan ketika itu, dia masih belum bercinta dengan anak saya.
"Jadi, saya memang belum tahu bagaimana karakternya," katanya.
Dalam pada itu, Krisdayanti juga mengatakan dia banyak mengetahui perkembangan hubungan Aurel dan Atta menerusi berita yang tersebar kerana setakat ini, anaknya itu masih belum berkongsi tentang perancangan perkahwinannya.
"Berita mengenai mereka sering tersebar dan akhirnya akan sampai juga kepada saya.
"Setakat ini, Aurel masih belum berkongsi apa-apa mengenai perancangan perkahwinannya, jadi saya masih tak tahu apa-apa," katanya lagi.
Baru-baru ini, Atta mengatakan dia mahu bertemu bakal ibu mertuanya itu sebelum mengahwini Aurel.
Sumber : Liputan6.com