Pernah mengalami keguguran pada Ogos lalu, selebriti Zulin Aziz mengakui dia dan suaminya kerap menerima pertanyaan soal zuriat semenjak mereka berkahwin.

Usia perkahwinan sudah mencecah 10 bulan, Zulin berkata dia juga sama seperti pasangan suami isteri yang semestinya mahukan cahaya mata.

“10 bulan usia perkahwinan kami, asyik diasak dengan soalan bila nak ada anak? Kami pun macam pasangan yang lain, pastinya ingin zuriat,” kongsi Zulin.

Menerusi perkongsian Zulin di video yang dikongsikan di TikTok, dia dan suaminya iaitu Farhan Norzaini tidak pernah berhenti berusaha untuk mendapatkan anak.

Malah, Zulin yang juga seorang pelakon dan penyanyi itu akan sentiasa memastikan dia dan suami pergi berbulan madu setiap kali mempunyai masa terluang.

“Kami tak pernah berhenti berusaha. Mohon doa yang baik-baik buat kami ya? Penantian harus ada kesabaran kan?

“Sebab tu kalau ada masa kami luangkan waktu pergi honeymoon. Kualiti masa bersama,” katanya lagi.

Rata-rata netizen turut berkongsi pengalaman yang sama dan mendoakan Zulin dan pasangan suami isteri lain dikurniakan cahaya mata.

“Yang baru sebulan kahwin pun orang asyik tanya. Anak tu kan rezeki Allah, Allah akan bagi bila kita mampu dan bersedia.

“Setahun dua kahwin saya pun mudah sensitif. Sekarang dah lapan tahun serah pada Allah saja… nak melawan mulut manusia, tak guna,” komen netizen.

Zulin memaklumkan dirinya alami keguguran buat kali pertama selepas menerima banyak soalan berhubung anak ketika membuat video siaran langsung di TikTok miliknya pada Ogos lalu.

Untuk rekod, Zulin, 33, sah bergelar isteri kepada pasangannya, Farhan Norzaini, 35, dengan sekali lafaz dalam majlis akad nikah yang berlangsung di Masjid Negara, Kuala Lumpur pada 19 Februari lalu.

Undi bintang digital dan content kegemaran Top 5 anda di Gempak Most Wanted Awards 2022 di sini.