Berupaya mencipta populariti menerusi single berjudul Blind Beat, kumpulan Drax Project, tidak menyangka lagu tersebut menjadi antara pilihan kegemaran ramai di aplikasi Tiktok.

Dianggotai oleh Ben O’Leary, Shaan Singh, Matt Beachen dan Sam Thomson, kumpulan ini terharu dengan penerimaan peminat yang telah menyokong cabaran #blindbeatchallenge yang dimulakan mereka ketika dunia dilanda pandemik COVID-19 dua tahun lalu.

Menurut Sam, single itu dihasilkan ketika tempoh berkurung dilaksanakan dan idea timbul di mana setiap anggota diminta untuk menghasilkan bahagian lagu masing-masing dalam tempoh 10 minit di studio berasingan.

“Ketika pandemik berlaku, sedaya upaya kami semua cuba untuk memicu kreativiti sendiri di studio masing-masing. Ben hadir menyarankan agar kami semua menulis bahagian lagu masing-masing sebelum kemudiannya mencantumkan kesemuanya menjadi sebuah lagu.

“Setiap nada dan tempo dihasilkan mengikut idea kami secara spontan. Niatnya pada awal mungkin secara santai sahaja, tetapi tak sangka ramai yang mahu mendengar dan meminati lagu tersebut.

“Matt juga telah merekodkan reaksi semua orang yang mendengar lagu tersebut dan memuat naiknya ke Tiktok. Daripada situ, jumlah tontonan juga semakin meningkat naik dalam beberapa hari sahaja. Ia bagi kami, adalah sesuatu yang mengagumkan,”katanya.

Mendapat jutaan tontonan dan ribuan komen daripada pendengar dan peminat, Drax Project kemudiannya tidak menunggu lama dengan menghasilkan karya lagu lain untuk dimuatkan dalam EP terbaharu mereka dengan judul yang sama.

Antara lagu yang dihasilkan ialah In And Out, Stole A Car, Confessions, Judge Judy, Second Chances dan Gameboy Color.

Apa yang menarik, Gameboy Color juga menjadi tular di kalangan pengguna Tiktok selepas EP Blind Beat diterbitkan.

Untuk info, Drax Project bermula sebagai sebuah kumpulan yang sering membuat persembahan busking jazz sebelum kini dikenali sebagai antara bakat hebat dari tanah kelahiran mereka di New Zealand.

Drax Project juga pernah bekerjasama dengan artis dan pemuzik gah dunia dengan antaranya termasuk Hailee Steinfeld, Fetty Wap dan Six60 selain pernah menyertai konsert jelajah bersama Ed Sheeran, Christina Aguilera, Lorde dan Camilla Cabello.

Undi bintang digital dan content kegemaran Top 5 anda di Gempak Most Wanted Awards 2022 di sini.