Pernah Lumpuh Sebelah Badan, Pengasas Jamu Mak Dara Pulih Selepas Jalani Terapi Muzik

Amri Hassan
Oktober 9, 2020 08:11 MYT
Dua tahun lalu, pengasas produk terkenal Jamu Mak Dara, Syed Muhammad Gadaffi Syed Ali atau lebih dikenali sebagai Abib pernah berdepan detik hitam dalam hidupnya.
Selain empayar bisnesnya hampir musnah, dia turut teruji dengan serangan angin ahmar sebelah badannya.
Bagaimanapun, hidupnya kembali berubah apabila mula mencuba terapi muzik yang turut membantu memulihkan dirinya secara dalaman.
"Ini bukan sihir! Saya pernah hampir hilang semuanya dan itulah sebabnya saya berdiam diri. Saya sakit, sebelah badan saya diserang strok.
"Kemudian saya mencuba kaedah terapi muzik dan dengan izin Allah selepas sebulan lebih badan saya semakin pulih sampai doktor yang merawat saya pun terkejut," katanya ketika ditemui pada sesi terapi muzik khas di Kelas@10, Shah Alam baru-baru ini.
Terapi muzik yang diusahakan dengan jenama Jajah Minda Diri (JMD) menemukan Abib membuka perpektif berbeza dalam hidupnya. Lebih menghargai diri sendiri serta membantunya untuk tidak menilai orang lain dan berburuk sangka.
"Saya menjadi lebih tenang, seperti individu baharu. Terapi muzik ini membuatkan saya kurang stress dan membantu masalah anxiety.
"Dengan bantuan alat muzik seperti European gong dan gendang, ia mampu menghasilkan satu getaran untuk merangsang saraf seterusnya melancarkan pengaliran darah.
"Melalui terapi ini, gelombang dan frekuensi diaplikasikan untuk merangsang saraf pada anggota badan manusia," katanya yang mula belajar terapi muzik ini sejak dua tahun lalu.
Terapi ini membabitkan bahagian iaitu empat bahagian kenali diri, kerohanian, zikir terapi dan sound bath (mandi bunyi).
Tarikan terapi ini ialah sound bath (mandi bunyi) proses menyenangkan diri menggunakan kaedah gong dan crystal bowl.
Terapi JMD turut mendapat sokongan selebriti seperti Ayu Damit, Ustaz Akhil Hay, Fitri Hiswady dan Nazrief Nazri.
Abib turut mendapat undangan persendirian dan beberapa individu yang serasi dengan terapi berkenaan.
#Jajah Minda Diri #Sound Healing #Terapi Muzik