Pelakon Ieda Moin akui kesal dengan tindakan segelintir masyarakat yang terlalu yakin membawa bayi dan kanak-kanak keluar rumah ketika wabak COVID-19 masih belum mencapai angka sifar di Malaysia.

Menurut Ieda, dia pernah melihat beberapa kejadian sebegitu dengan matanya sendiri.

"Saya pernah nampak, ada orang yang baru lepas habis pantang dah bawa anak kecil ke tempat awam yang sesak, saya tak faham dengan tindakan sebegitu.

"Ketika mula-mula Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan pada Mac lalu, kita semua boleh sahaja duduk diam di rumah dan lindungi bayi atau kanak-kanak. Sekarang, meskipun sudah banyak kelonggaran, lebih elok jika kita sentiasa berwaspada.

"Biarlah kes di negara kita capai angka sifar dahulu, barulah kita boleh kembali menjalani kehidupan seperti sebelum munculnya wabak COVID-19 ini," katanya ketika dihubungi Gempak.



Tambah Ieda, sebagai seorang ibu, dia juga masih berasa takut untuk membawa anak tunggalnya, Nur Dhia Dania, 12, ke tempat yang sesak.

"Saya juga seorang ibu, saya nak bawa anak saya ke tempat yang sesak pun masih takut.

"Ingatlah, apapun, kita harus sentiasa melindungi bayi dan kanak-kanak, janganlah bawa mereka ke tempat yang sesak di waktu seperti sekarang ini," tuturnya menutup bicara.