Penyanyi dan pelakon Siti Nordiana mendedahkan pernah mempunyai perasaan putus asa dalam bidang seni.

Menerusi program Chit-Chat With Michael Ang yang disiarkan di saluran Youtube Official Ria X pada 29 Mei lalu, Siti Nordiana atau lebih mesra disapa Nana berkongsi pengalaman jatuh naik kariernya.

"Sebenarnya kalau ikutkan saya sudah sampai tahap berputus asa.

"Ketika itu, saya keluarkan lagu baru tetapi tidak mendapat sambutan daripada pendengar.

"Ada juga orang cakap yang saya sudah tidak relevan lagi.

"Saya pernah terfikir saya tiada harapan untuk terus berada di industri seni ini," katanya.

Namun begitu dengan berbekalkan semangat serta kritikan yang diterima, Nana bangkit meneruskan kehidupan seperti biasa.

"Saya mula menjalankan perniagaan sendiri. Dalam masa yang sama, jauh di lubuk hati saya tetap ingin meneruskan bidang nyanyian.

"Saya memasuki pertandingan realiti nyanyian Gegar Vaganza sebagai harapan terakhir untuk mempunyai persembahan sendiri.

"Saya pegang kata-kata kritikan daripada segelintir pihak untuk memperbaiki diri sendiri," katanya lagi.

Nana mendirikan rumah tangga bersama pasangannya aktor arwah Faizal Yusof pada tahun 2006 namun bercerai pada tahun 2009.

Pasangan ini mempunyai seorang cahaya mata lelaki, Muhammad Rayyan Nakhaie.

Untuk perjalanan kariernya, penyanyi kelahiran Negeri Sembilan ini mula aktif di industri hiburan pada tahun 1999 dan berjaya mengekalkan popularitinya sehingga kini.