Hiburan
Pernah Rugi RM80,000, Zara Zya Bangkit Dengan ZaraZyaCooks
Pelakon Zara Zya mencabar diri sekali lagi untuk terlibat dalam dunia industri food & beverage (F&B) buat kali ketiga.
Kata Zara, walaupun berasa takut untuk menggunakan nama sendiri namun ia adalah strategi baharu yang digunakan untuk perniagaan kali ini.
"Sebelum ini, saya pernah mempunyai kedai makan di Medan Selera di pusat beli belah Melawati Mall dalam tiga tahun lepas. Kakak saya yang tolong jagakan masa tu.
"Di situ, saya hanya menjual nasi lemak ingatkan kos tak tinggi tapi banyak pula cas tersembunyi.
"Kawan-kawan selebriti nak datang lepak pun susah, sebab tak ada privasi. Saya rugi hampir RM80,000 dan kemudiannya ia ditutup.
"Saya buka pula Kedai Suka Makan di Mutiara Damansara. Dekat situ saya tak ada chemistry dengan rakan kongsi dengan kawasannya yang susah orang nak datang, jadi ditutup juga.
"Restoran ZaraZyaCooks ini dikira perniagaan ketiga saya. Kali ini, saya tampil dengan strategi baharu dengan meletakkan nama saya sendiri.
"Mula-mula takut juga nak guna nama sendiri. Orang nak ke datang kedai saya? Mindset orang selalu artis sekadar jual saja bukan masak.
"Tapi alhamdulillah peminat percaya. Sebab mereka tahu saya suka kucing dengan masak. Restoran ini sentiasa penuh terutamanya hari Jumaat dan Sabtu," katanya kepada Gempak.
Zara ditemui ketika majlis pembukaan restoran miliknya, ZaraZyaCooks (ZZC) di Jalan Setia Dagang, Setia Alam, Selangor.
Dalam pada itu, pelakon drama Monalisa tidak pernah berputus asa dengan kegagalannya sebelum ini.
"Sebelum ini saya meniaga tapi tiada asas-asas serta ilmu yang diperlukan untuk memastikan perniagaan itu terus bertahan. Kali ini saya dah persiapkan diri saya.
"Kalau cuti daripada penggambaran, memang saya sendiri akan turun sama-sama membantu melancarkan operasi restoran. Ada masa saya sendiri yang akan masak pesanan daripada pelanggan.
"Kegagalan sebelum ini tidak pernah mematahkan semangat saya untuk menjalankan perniagaan," katanya lagi.
ZaraZyaCooks yang menyediakan pelbagai hidangan istimewa antaranya Sup Belut, Nasi Goreng Kambing Bakar, Patin Tempoyak, Siakap Stim Halia beroperasi setiap hari bemula jam 12.30 tengah hari sehingga 11.30 malam.
Bangunan restoran dua setengah tingkat itu turut menyediakan ruang untuk majlis khas, ZaraZya Sky Lounge (ZSL) yang dibuka dari jam 6 petang hingga 1 pagi setiap hari.
Must-Watch Video