Jika diimas kembali ketika fasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dikenakan kepada rakyat Malaysia sekitar dua tahun lalu, pasti ramai yang tercuit hati.

Ada yang kehilangan kerja dan ada yang kehilangan ahli keluarga, masing-masing punya survival yang perlu diharungi ketika itu.

Begitulah hal yang dialami oleh pelakon Sherry Ibrahim yang mengalami zero income, atau pendapatan sifar ketika kebanyakan bisnes terpaksa ditutup akibat PKP tidak lama dahulu.

Menurut Sherry, atau nama sebenarnya, Syarizah Ibrahim, 39, dia masih mempertahankan perniagaan salunnya yang terletak di Publika Shopping Gallery sungguhpun terpaksa menggunakan duit simpanan sendiri bagi membayar sewa dan gaji pekerja.

“Jujurnya, saya dah lalui fasa zero income sewaktu pandemik. Saya terpaksa buat apa sahaja, jual apa sahaja demi mencari pendapatan. Tidak kurang juga, saya guna duit simpanan untuk bayar sewa kedai serta gaji empat pekerja saya,” katanya kepada Gempak ketika ditemui pada sidang media dan majlis berbuka puasa Adhoc Raya 2022 di Riverside WTCKL baru-baru ini.

Sherry berkata, dia tidak mahu membuang pekerjanya walaupun dia mengalami masalah kewangan yang sangat besar ketika itu.

“Walaupun masa tu saya rasa sangat susah, tapi saya cuba pertahankan bisnes saya dan juga pekerja-pekerja yang ada,” katanya lagi.

Bagaimanapun, Sherry menzahirkan rasa bersyukur berkat doa dan usahanya membolehkan perniagaan yang diusahakan itu dipertahankan dan sudah pun boleh beroperasi seperti biasa.

“Alhamdulillah, rezeki Allah… Salun saya sudah kembali beroperasi seperti biasa dan saya juga ada banyak menerima tawaran kerja. Saya rasa sangat bersyukur. Dan terbaharu, saya juga menyertai The Masked Singer musim kedua dan tidak lama lagi, insya-Allah saya akan muncul dengan single baharu,” tutupnya.