“Pernah Singgah Makan Di Kedai Nasi Kandar Pekan Napoh? Silalah Buat Saringan” - Polis
Bagi memastikan tiada jangkitan COVID-19 berlaku, Polis Diraja Malaysia (PDRM) meminta kerjasama orang ramai yang pernah makan atau singgah di sebuah kedai nasi kandar Pekan Napoh di Jitra supaya melakukan saringan.
Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Mohd Ismail Ibrahim berkata, sesiapa yang singgah makan pada 13 hingga 24 Julai lalu di kedai makan itu diharap dapat menjalani ujian saringan berikutan enam bukan warga negara disahkan positif.
“Sebelum ini, pengusaha kedai makan itu ditahan polis dan dikompaun RM1,000 kerana ingkar kuarantin 14 hari selepas pulang dari India pada 13 Julai lalu dan disahkan negatif ketika menjalani pemeriksaan di pintu masuk Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
“Bagaimanapun semalam, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesahkan dia positif Covid-19 ketika melakukan pemeriksaan saringan kedua dan lima lagi yang juga kontak rapat dengannya disahkan positif dari kluster Sivagangga,” katanya.
Jelasnya, kedai nasi kandar itu diarahkan tutup serta-merta sejurus selepas lelaki itu ditahan minggu lalu.
“Namun kami percaya ramai pelanggan singgah makan di situ sepanjang tempoh 13 Julai hingga 24 Julai lalu.
"Kita nasihatkan mereka yang singgah di situ yang juga kontak terdekat boleh segera jalani rawatan saringan.
"Kita bimbang jika langkah ini tidak diambil, berkemungkinan ramai yang akan dijangkiti,” katanya.
Sumber: Harian Metro