Hiburan

Pernah Viral Cover Lagu Dawai, Iman Darwasy Teruja Hiburkan Orang Pahang! - "Ini Kali Pertama Saya ..."

gempak
Amri Hassan
13/02/2024
11:03 MYT
Sponsor Banner
Pernah Viral Cover Lagu Dawai, Iman Darwasy Teruja Hiburkan Orang Pahang! - "Ini Kali Pertama Saya ..."
Meskipun baru melangkah ke bidang seni, penyanyi cilik Iman Darwasy, 13 tahun ternyata teruja apabila bakatnya mula disedari umum tatkala kebanyakan video nyanyiannya tular di media sosial.
Pernah tular dengan nyanyian semula lagu Dawai, dia gembira apabila video berkenaan memuncakkan namanya sehinggakan menarik perhatian beberapa pihak pengurusan untuk merencanakan kerjaya seninya itu.
“Alhamdulillah, saya bersyukur kerana ramai pihak sudah nampak bakat yang ada pada diri saya ini. Sudah pasti saya gembira dan mahu melakukan yang terbaik untuk bergelar penyanyi.
“Kalau boleh memang saya mahu berjaya dalam bidang nyanyian. Tapi fokus saya tetap pada pelajaran dan berharap dapat memberikan fokus kepada kedua-dua bidang dalam masa yang sama,” katanya yang bakal melangkah ke tingkatan satu tidak lama lagi.
Sebenarnya bakat Iman sudah disedari kedua ibu-bapanya sejak kecil lagi. Dia juga sudah menyertai pelbagai pertandingan nyanyian sehingga diangkat sebagai juara Bintang Kecil RTM 2023 peringkat Wilayah Persekutuan.
Kemudian, dia sekali lagi melangkah ke pertandingan Bintang Kecil RTM 2023 dan berentap bersama wakil negeri yang lain.
“Walaupun tidak memang, saya gembira kerana itu merupakan pengalaman pertama saya bertanding ke acara yang lebih besar. Banyak pelajaran dan pengalaman baru yang saya terima sepanjang ia berlangsung.
“Sudah pasti saya berterima kasih kepada pihak RTM yang banyak menaikkan semangat saya sehingga ke hari ini,” katanya yang sudahpun merakamkan lagu baharu untuk dijadikan tema drama Panggil Aku Dahlia terbitan Jaja Ishak Channel Sdn Bhd.
Terbaru, anak sulung daripada dua adik-beradik ini teruja apabila mendapat jemputan untuk turut sama menghiburkan orang Pahang sempena Moh Karnival Makmur yang diadakan pada 16, 17 dan 18 Februari ini di Dataran Indera Pahlawan Chenor, Maran.
Baginya ini merupakan satu undangan istimewa memandangkan ini kali pertama dia diundang ke Maran bagi menghiburkan masyarakat di sana dalam Malam Kebudayaan yang diadakan pada 16 Februari ini.
Bakal berada satu pentas dengan penyanyi legenda nasyid In-Team, pastinya Iman akan sama menghayati erti kasih sayang dan ihsan sesama manusia melalui lagu-lagu yang bakal dipersembahan nanti.
“Ini merupakan kali pertama saya terlibat dalam karnival seperti ini dan pastinya saya teruja untuk melihat sendiri persembahan lain seperti nyanyian lagu rakyat, alunan qasidah dan zapin Arab.
“Pihak penganjur pun dah sediakan banyak aktiviti menarik sepanjang tiga hari acara berlangsung. Saya harap, orang Pahang dan kawasan sekitar tak melepaskan peluang untuk datang,” tambahnya lagi.
Bercerita mengenai Moh Karnival Makmur pula, pelbagai aktiviti menarik disediakan oleh pihak penganjur untuk semua ahli masyarakat yang hadir. Menariknya pelbagai hadiah juga disediakan oleh penganjur untuk mereka yang bertuah.
Puluhan reruai jualan juga dibuka bukan sekadar jualan makanan dan minuman tetapi juga jualan produk tempatan yang sinonim dengan masyarakat Pahang seperti hasil kraftangan dan sebagainya.
Moh Karnival Makmur akan dirasmikan oleh Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail yang dijadualkan berlangsung pada 17 Februari, bermula jam 10.30 pagi di lokasi yang sama.
Pelbagai agensi kerajaan juga turut membuka kaunter bagi memberikan maklumat terkini tentang perkhidmatan yang disediakan oleh mereka dalam membantu melicinkan proses berkaitan.
Lebih menarik, kerajaan Pahang juga membuka pendaftaran Bantuan Prihatin Pahang untuk bayi yang baru lahir, pelajar sekolah, penuntut institusi pengajian tinggi dan segenap ahli masyarakat bagi menyalurkan bantuan.
Topic Berkaitan
Must-Watch Video
Gempak Non Stop Live