Majlis Istiadat Berbedak Pengantin Diraja sempena Istiadat perkahwinan Diraja di antara anakanda Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah, Pengiran Muda Abdul Mateen Bolkiah dan pasangannya, Yang Mulia Dayang Anisha Rosnah selamat berlangsung pada Rabu malam di Istana Nurul Iman Brunei.

Istiadat berbedak merupakan majlis keempat daripada 10 hari, yang dimulai dengan Majlis Istiadat Bersuruh Diraja, pada 7 Januari lalu.

Mengikut adat istiadat Diraja Brunei Darussalam, Istiadat Berbedak Diraja bagi Pengantin Laki (Lelaki) dan Pengantin Bini (Perempuan) diadakan pada sebelah malam mengikut tarikh yang telah ditetapkan.

Mengikut kelazimannya Pengantin Bini yang didahulukan untuk menjalani Istiadat ini walaupun iannya diadakan pada malam yang sama kecuali jika Pengantin Laki adalah Putera Sultan yang gahara.

Putera Gahara bermakna bonda kepada Pengantin Laki adalah berdarah raja dan bukan orang kebanyakan.

Apa yang anda perlu tahu tentang Istiadat Berbedak Pengantin Diraja Brunei?

1. Majlis dimulakan dengan perarakan 40 pembawa tombok diikuti tembakan meriam 17 das sebagai tanda bermulanya Istiadat Berbedak Pengantin Diraja itu.

2. Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah dan isteri, Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha serta Pengiran Anak Puteri Azemah Ni’matul Bolkiah berkenan menculiki (mencalit) Bedak Diraja kepada paduka anakanda Pengiran Muda 'Abdul Mateen dan Dayang Anisha Rosnah, yang diadakan secara berasingan di tempat yang sama.

3. ‘Adat Berbedak’ adalah upacara di mana kedua pengantin akan di bedakkan untuk menambah serinya wajah. Ia umpama majlis merenjis bagi tradisi di Malaysia.

4. Bagi perkahwinan bukan Diraja, kebiasaannya adat berbedak akan diadakan di rumah masing-masing dan dilangsungkan berasingan.

5. Bedak yang digunakan dalam istiadat ini diadun khas dengan tujuh warna berserta air mawar yang diisi ke dalam bekas perak beralas gangsa.

6. Istiadat Menculiki Bedak Diraja disusuli oleh kerabat diraja dan kemudian diikuti oleh ayahanda dan bonda Pengantin Diraja Perempuan.

7. Giliran untuk mencalit bedak adalah mengikut tertib yang mana didahului dengan individu yang mempunyai kedudukan yang tertinggi.

8. Mengikut tradisinya, selepas berbedak, akan dilangsungkan upacara mandian. Pengantin akan duduk diatas papan yang berlapik sambil dikelilingi empat lilin. Setiap lilin akan dipegang oleh kanak-kanak memakai ‘sesandang’ yang berlainan warna.

9. Selepas itu, pengantin akan meniup memadamkan lilin dengan mulut yang berisi air sebanyak tiga kali.

10. Acara mandian itu juga akan disusuli dengan pembakaran kemenyan bagi menaikkan bau segar harum pengantin.

11. Di majlis perkahwinan pasangan Kerabat Diraja ini juga, Yang Mulia Dayang Anisha Rosnah mendapat sentuhan solekan dari jurusolek Filipina, Denise Go Ochoa dan busana hasil tangan pereka Malaysia, Teh Firdaus.

Sumber: Astro Awani