Pemilik kereta Perodua Bezza yang rosak dan tular baru-baru ini meluahkan rasa lega apabila syarikat itu bersetuju untuk membeli semula kereta berkenaan dengan harga penuh.

Berita itu dimaklumkan sendiri oleh pemilik kereta tersebut, Nagakanni menerusi kemas kini terbaharu di akaun Facebook miliknya.

Menurut Nagakanni, solusi yang diberikan oleh Perodua itu membolehkan dirinya tidak perlu lagi membayar bulan-bulan untuk kereta lama (kereta yang rosak), dan bayaran sebelum ini juga akan dipulangkan.

“Perodua akhirnya setuju untuk beli semula kereta saya dengan harga penuh!

“Dengan keputusan ini, saya tak perlu lagi bayar bulan-bulan untuk kereta lama, dan semua bayaran sebelum ni pun saya akan dapat semula pemulangan wang.

“Perodua juga memberi tawaran untuk saya beli kereta kedua dengan kadar pinjaman bulanan yang sama atau untuk saya menolak tawaran ni dan beli kereta lain.

“Saya perlu buat keputusan ni dalam 7 hari. Terima kasih Perodua atas keputusan ini,” maklumnya.

BERITA TRENDING: Perodua Beri Kenyataan Isu Pengguna Sempat Pakai Bezza 8 Jam Sebelum Kereta Rosak, Tak Siap Dibaiki…

Dalam pada itu, pemilik Bezza itu juga turut mengucapkan terima kasih kepada rakyat Malaysia kerana membantu dirinya untuk mendapatkan hak yang sepatutnya sebagai pengguna.

“Yang paling penting, terima kasih kepada semua yang membantu saya menuntut hak ini. Saya terhutang budi dengan anda.

“Perjuangan menuntut hak daripada syarikat gergasi bukanlah sesuatu yang mudah untuk saya seorang kerani yang hanya semut ni.

“Tapi saya belajar sesuatu. Walaupun kita kecil seperti semut, kalau kita bersatu tanpa kira warna dan kaum, kita akan berjaya. Akhirnya, kerana gula, semut bersatu,” coretnya.

BERITA TRENDING: Isu Kereta Rosak Selepas 8 Jam, Pengguna Dakwa Kenyataan Media Perodua Tak Selesaikan Masalah

Sekadar info, wanita itu sebelum ini berkongsi tentang kereta jenis Perodua Bezza yang baharu sahaja dibeli mengalami kerosakan engin hanya selepas lapan jam digunakan.

Difahamkan, pihak Perodua memaklumkan kerosakan itu berlaku berpunca daripada kemasukan bendasing seperti gula pada bahagian enjin.