Berita
“Perompak Tu Cakap, ‘Aku Tak Nak Buat Tapi Bos Suruh…Adik Aku Akan Mati Kalau Tak Dapat Duit’” – Tebusan
Tebusan rompakan bank di Kota Tinggi yang tular semalam memberitahu, dia mendengar dengan jelas apa diperkatakan perompak yang mahukan wang untuk 'menyelamatkan' adiknya.
Mardiah Mat Ripi, 26, berkata, perompak tersebut ada menyebut dia tidak mahu melakukan benda itu (merompak) tetapi disuruh oleh bosnya jika tidak mahu nyawa adiknya terancam.
Katanya, kenyataan itu dibuat perompak terbabit ketika ditanya pelanggan bank yang terperangkap bersama dengannya.
"Ada pelanggan tanya, kenapa buat macam ini untuk menenangkan keadaan. Perompak itu cakap 'aku tak nak buat benda ini tapi aku terpaksa adik aku ada pada dia (bos). Kalau tak dapat duit adik aku mati',” katanya ketika menceritakan tragedi dia menjadi tebusan rompakan bank di Air Tawar 5, Kota Tinggi semalam.
Kejadian yang berlaku pada petang semalam (Khamis) itu tular menerusi aplikasi Whatsapp dan media sosial.
Bercerita lanjut, Mardiah berkata dia ke bank menemani ibunya, Ratnah Ahab, 56, dan sebelum kejadian, dia bersandar di dinding, menunggu ibunya selesai berurusan.
"Saya memang terbayang-bayang insiden itu, masa sangat pantas, rasa takut sangat. Memang nyawa dekat hujung sabit. Saya hendak lari ke kiri tidak boleh, ke kanan tidak boleh, nak ke bawah pun tak boleh sebab sabit memang penuh diletakkan di leher saya.
"Cuma ingat pegawai bank cakap dengan perompak itu sabar encik jangan apa-apakan budak tu. Rasa memang lama sabit berada di leher. Ibu juga merayu saya tidak dicederakan," katanya.
Menurutnya, perompak itu juga cuba menjadikan ibunya tebusan dan menolaknya tetapi Ratnah yang sakit kaki, terjatuh.
Katanya, ibunya dipaksa berdiri dan ketika perompak itu tunduk untuk bangunkan ibunya, dia ditembak pengawal keselamatan.
"Kejadian ini memang mimpi ngeri, sejarah hitam dalam hidup. Selalu tengok dalam drama sahaja kejadian seperti ini. Tak sangka terjadi pada diri sendiri apatah lagi saya sudah bayangkan akan mati dibunuh," katanya yang bersyukur Allah SWT menyelamatkannya dan ibunya.
Sumber: Harian Metro