Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!

Perpisahan Dengan Bekas Isteri Bukan Halangan Anak Dapat 10 A - Fauzi Nawawi

Kamaruddin Razal
17/03/2017 09:50 MYT
Pelakon dan pengarah Fauzi Nawawi gembira kerana anaknya, Hana Farisha mendapat keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Hana, 18, merupakan anak hasil perkahwinan Fauzi bersama bekas isteri sebelum Fauzi mendirikan rumah tangga dengan aktres Lisdawati.

“Perasaan saya tidak dapat digambarkan dengan kata-kata. Saya sangat gembira apabila anak saya memberitahu keputusan SPM yang diperolehinya.

“Saya sendiri tidak menjangkakan dia akan mendapat 10A kerana sebelum ini, sewaktu peperiksaan percubaan SPM, dia hanya mendapat 9A sahaja,” kata Fauzi ketika dihubungi oleh Astro Gempak.

Dalam pada itu, Fauzi juga membuktikan yang perpisahannya bersama bekas isteri bukan pengahalang untuk anaknya berjaya dalam pelajaran.

“Bekas isteri saya seorang penjawat awam. Dia mementingkan pelajaran, sama seperti saya dan Lisdawati terapkan kepada anak-anak. Walaupun kami sudah tidak bersama, kami berhubung baik demi anak-anak. Sebelum ini, anak sulung saya turut mendapat keputusan cemerlang dalam SPM dan kini melanjutkan pelajaran di Universiti Malaya.

“Perpisahan saya dengan bekas isteri bukan penghalang anak-anak untuk berjaya kerana cara mendidik mereka harus betul dan pelajaran serta keperluan harian mereka harus diberikan keutamaan. Saya, bekas isteri dan Lisdawati sama-sama memberikan tumpuan kepada anak-anak supaya mereka pentingkan pelajaran dan agama.

“Saya juga sangat berterima kasih dengan Lisdawati kerana dia menjaga anak-anak saya bersama bekas isteri seperti anak-anaknya sendiri. Apa sahaja masalah yang melanda anak-anak, Lisdawati mengambil inisiatif untuk menghubungi bekas isteri dan bertanyakan sendiri masalah yang terjadi,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Fauzi juga mahu Hana melanjutkan pelajaran di Malaysia berbanding luar negara.

“Sejujurnya, kalau anak lelaki, saya dengan senang hati melepaskan mereka jika mendapat peluang untuk melanjutkan pelajaran di luar negara. Namun begitu, saya agak berat hati untuk melepaskan anak perempuan saya belajar di luar negara.

“Keluarga dan kawan-kawan ada mencadangkan supaya Hana menyambung pelajaran dalam bidang perakaunan di Australia tetapi saya rasakan belajar di luar negara tidak menjamin apa-apa.

“Fasiliti pembelajaran serta universiti di Malaysia juga tidak kurang hebatnya, jadi kalau boleh, biarlah Hana belajar di Malaysia sama seperti kakaknya,” katanya mengakhiri temubual.

Teks oleh: Kamaruddin Razal

#Fauzi Nawawi #Lisdawati
;