HIBURAN
Persalinan Bollywood Malam Berinai Umi Nazeera Diterbangkan Khas Dari India
Tinggal 27 hari lagi sebelum pelakon Ummi Nazeera bergelar isteri kepada tunangnya yang dikenali sebagai Mr. I.
Sudah tentu disaat ini persiapan sibuk dijalankan oleh kedua-kedua pasangan untuk memastikan majlis yang dirancang berjalan lancar.
Apatah lagi, majlis perkahwinan Ummi dan Mr. I nanti akan diadakan selama empat hari, iaitu malam berinai pada 2 Ogos, akad nikah 3 Ogos, dua majlis resepsi pada 5 dan 12 Ogos dan 19 Ogos majlis di sebelah keluarga bakal suami.
Apa yang menarik perhatian Astro Gempak ialah, kepada BH Online Ummi memberitahu, persalinannya untuk majlis malam berinai bertemakan Bollywood dibawakan khas dari Delhi, India.
Sementara pada hari akad nikah dia akan menggayakan baju nikah rekaan Innai Red, namun busana untuk dua majlis resepsinya masih dirahsiakan.
Bagaimanapun, katanya lagi, majlis akad nikah akan diadakan secara tertutup.
Kad undangan perkahwinan sudah mula diedarkan untuk golongan kenamaan dan akan diedarkan untuk tetamu lain tidak lama lagi.
Dalam pada itu, Ummi mengakui sedikit tertekan kerana mahu menyediakan sesuatu yang terbaik pada hari perkahwinannya.
"Ia termasuklah mencari cenderahati untuk dibawa pulang tetamu yang diraikan. Tambahan pula, empat majlis akan diadakan di pihak saya.
"Selain itu, saya juga harus ke lokasi penggambaran drama Chor & Chah musim kedua terbitan Suhan Movies, bermula 15 Julai ini.
“Saya akan menjalani penggambaran drama berkenaan selama dua minggu dan pihak produksi akan melepaskan saya pada 29 Julai.
"Jadi, saya ada beberapa hari saja untuk berehat sebelum kembali memberikan tumpuan kepada hal perkahwinan," katanya.
Kedua-duanya berkenalan menerusi ibu pemuda terbabit pada sebuah majlis, 29 Januari tahun lalu. Sementara itu, filem terbaru lakonan Ummi berjudul Bisik Pada Langit dijangka diputarkan di pawagam mulai 21 September depan.
Sumber: BH Online
Must-Watch Video