Penyanyi Aina Abdul mendedahkan dia berhabis hampir RM90,000 untuk keseluruhan persembahan yang menampilkan elemen awan dan serba putih di Anugerah Juara Lagu ke-37 (AJL37) malam tadi.

Kata Aina, dia sanggup berbelanja besar untuk persembahannya kerana merasakan lagu Terus Hidup adalah yang istimewa buat dirinya.

"Memang saya tidak menafikan saya berhabis banyak kali ini.Tapi kerana... mungkin saya macam ada instinct Terus Hidup ini sesuatu yang istimewa dalam hidup saya.

"Jadi perbelanjaan hari ini merangkumi persalinan, props awan dan segalanya yang anda lihat tadi. Akan tetapi pada tahap ini saya mahukan sesuatu hasil yang berbaloi dalam kerjaya.

"Saya sedar untuk itu saya perlu buat pelaburan untuk diri sendiri, malah saya tu membawa semangat 'team' saya yang ramai hari ini sahaja misalnya dalam 30 orang.

"Semangat merekalah yang membawa saya ke sini. Saya sudah dikurniakan rezeki dan ada ruang untuk 'invest' dalam persembahan ini, alhamdulilah," katanya.

Juara serta Pemenang Vokal Terbaik AJL37 itu memberitahu konsep persembahan awan berkenaan merupakan simbolik mengenang bapanya yang telah pergi menghadap Illahi.

"Sebenarnya saya pilih tema awan selepas kebelakangan ini saya banyak travel menaiki kapal terbang.

"Saya selalu luangkan 'me time' di atas kapal terbang dengan melihat kepulan awan yang bergelora dan ada kala juga tenang.

"Selain itu, Awan yang berguguran di atas pentas dan kepala penonton itu merupakan simbolik kepada orang yang sudah tiada, yang tidak dapat dikawal oleh seorang manusia biasa.

"Jadi persembahan Terus Hidup ini juga saya dedikasikan buat arwah ayah saya, Abdul Ghani Abdullah," kongsinya lagi.

Lagu Terus Hidup nyanyian dan ciptaan sepenuhnya oleh Aina Abdul muncul sebagai juara Anugerah Juara Lagu ke-37 (AJL37) yang berlangsung di Axiata Arena, Bukit Jalil malam tadi.

Kemenangan itu membolehkan Aina Abdul membawa pulang hadiah wang tunai RM100,000 berserta trofi bersalut emas.

Aina Abdul juga telah dua tahun berturut-turut dipilih sebagai pemenang Vokal Terbaik kali ini menerusi lagu Terus Hidup ciptaan sepenuhnya sekali gus membawa pulang hadiah wang tunai RM12,000 berserta trofi.