Hiburan
Persembahan Percuma Sebagai ‘Hadiah’ , Henry Moodie Teruja Ada Ramai Peminat Di Malaysia
Penyanyi meningkat naik dari United Kingdom, Henry Moodie berjaya mencapai hasratnya untuk bertemu peminat di negara ini menerusi persembahan yang diadakan di kompleks beli belah Plaza The Exchange TRX, baru-baru ini.
Persembahan Percuma Untuk Hargai Peminat
Apa yang lebih istimewa apabila pelantun lagu Drunk Text itu sanggup mengadakan persembahan secara percuma semata-mata untuk mendekati peminatnya di Malaysia.
Menurut Henry, persembahan secara terbuka tersebut dilaksanakan bagi menghargai peminat yang selama ini memberi sokongan terhadap kerjaya nyanyiannya.
“Saya tidak mahu melepaskan peluang untuk menyantuni peminat saya di negara ini.
“Alang-alang sudah ke sini, kenapa tidak saya hadiahkan persembahan percuma untuk peminat?
“Bagi saya, cara itu lebih inklusif, membuka kesempatan untuk berjumpa semua peminat, sama ada yang berkemampuan, atau pun tidak,” katanya.
Henry berkata demikian ketika sesi bersama media yang diadakan di The Kuala Lumpur Journal Hotel, Bukit Bintang pada Isnin.
Terdahulu, ribuan peminat membanjiri aras 2 kompleks beli belah tersebut bagi menyaksikan persembahan istimewa penyanyi yang berusia 20 tahun itu.
Bercerita lebih lanjut, Henry sempat meluahkan rasa teruja terhadap sambutan memberangsangkan yang diterimanya sempena showcase berkenaan.
"Peminat saya adalah orang-orang yang hebat
“Saya dapat rasakan keramahan penonton yang bersama-sama menyanyikan lagu-lagu saya. Penerimaan mereka terhadap kehadiran saya amat memberangsangkan.
“Saya bertuah kerana memiliki lagu-lagu yang mendekatkan saya dengan peminat pelbagai latar belakang.
“Sokongan mereka kepada saya tak berbelah bagi. Peminat saya adalah orang-orang yang hebat,” katanya.
Sekadar info, Henry sebelum ini berkesempatan menyantuni peminatnya di Manila, Filipina.
Selepas Malaysia, Henry dijadualkan pula untuk bertemu peminatnya di Jakarta, Indonesia pada 8 Mei ini.
Must-Watch Video