Raikan Wira Wonda Kita! Kongsikan kisah inspirasi wira anda & menangi wang tunai RM10,000

Pertama Dalam Industri Filem Malaysia, Astro Shaw Perkenalkan Trend Treler Multi-Programmatik

Firdaus
26/08/2024 07:45 MYT
Seiring dengan evolusi landskap sinema di Malaysia, strategi bagi pemasaran kreatif turut semakin meningkat.

Sebagai salah satu inisiatif pemasaran terbaru, Astro Shaw memperkenalkan multi-programatik treler yang direka khas mengikut tema tertentu.

Pendekatan inovatif ini melibatkan penghasilan beberapa treler dengan genre berbeza dari filem yang sama. Strategi berkenaan akan dimulakan dengan filem terbaharu terbitan Astro Shaw, Baik Punya Ah Long.

Dengan pelancaran beberapa treler mengikut kesesuaian musim tayangan, Astro Shaw memfokuskan kepada golongan penonton yang lebih meluas.

Usaha ini selaras dengan trend platform yang menyajikan kandungan mengikut citarasa penonton.

Baik Punya Ah Long menjadi filem pertama di Malaysia yang menampilkan beberapa treler berbeza untuk ditayangkan di pawagam.

Selain treler rasmi, terdapat dua lagi treler khas yang berkonsepkan aksi komedi dan muzikal.

A post shared by Astro Shaw Sdn Bhd (@astroshaw)



Menurut Penerbit Eksekutif Filem Baik Punya Ah Long merangkap Ketua Astro Shaw, Raja Jastina Raja Arshad berkata Astro bukan sahaja menyasarkan penghasilan karya yang berkualiti tetapi turut memfokuskan strategi pemasaran dalam filem-filem yang diterbitkan.

"Tidak hanya memberi tumpuan pada penghasilan karya berkualiti, Astro Shaw juga turut memfokuskan pada strategi pemasaran bagi memastikan filem tersebut dapat dihebahkan secara menyeluruh.

“Dengan memperkenalkan multi-programatik treler ini, ia memberikan lebih ruang fleksibiliti dalam kempen pemasaran kami dengan menyesuaikan kandungan filem Baik Punya Ah Long kepada segmen penonton tertentu, sekali gus dapat menarik pelbagai demografi penonton.

“Kami percaya dengan melancarkan dua treler tambahan tersebut, ia dapat menonjolkan aspek berbeza filem ini seperti komedi, aksi, atau elemen muzikal, dan penonton diberikan lebih banyak sebab untuk teruja dengan filem Baik Punya Ah Long.

“Langkah berani ini adalah bukti usaha kami untuk terus mendekatkan karya tempatan kepada masyarakat dengan cara yang lebih segar dan relevan,” jelasnya.

Treler yang direka khas ini akan disusun secara strategik mengikut genre filem yang sedang ditayangkan di pawagam.

Dari filem aksi yang mendebarkan hingga ke komedi dan persembahan muzikal yang menghiburkan, treler tersebut memastikan pendedahan maksimum kepada penonton yang disasarkan dan diharapkan dapat menarik minat mereka menyaksikan 'Baik Punya Ah Long' yang ditayangkan mulai 12 September nanti.

Dengan strategi pemasaran yang inovatif, Astro Shaw bersedia untuk memberikan impak yang signifikan dalam industri filem tempatan dan menetapkan piawaian baru untuk tayangan pawagam.

Baik Punya Ah Long merupakan filem arahan Dato Afdlin Shauki dan membariskan pelakon Zizan Razak, Johan, Adlin Aman Ramlie, Liyana Jasmay, Mia Shauki dan ramai lagi.

Filem komedi muzikal ini mengisahkan tentang dua beradik yang mahu memulakan perniagaan walaupun mereka tidak mempunyai asas dan pengalaman dalam bidang tersebut.

Menjalankan bisnes meminjam wang, perniagaan mereka tidak disenangi oleh 'Ah Long' yang lain.

Saksikan filem Baik Punya Ah Long bermula 12 September depan di pawagam seluruh negara.

Ikuti perkembangan mengenai filem ini menerusi platform media sosial Astro Shaw.

Gunakan #BaikPunyaAhLong untuk berkongsi keterujaan atau pendapat di media sosial.
#Astro Shaw #Treler #Baik Punya Ah Long #Multi-programmatik