Pelakon Sara Ali akui pertama kali menerima naskah bergenre misteri komedi sepanjang kariernya dalam dunia lakonan.

Menurut Sara atau nama lengkapnya Siti Sarah Hairi Ali, 32, dia mencabar dirinya untuk menerima watak utama dalam drama Astro Original Series, Murder By Moonlight.


“Sebenarnya saya sendiri tak sangka apabila terpilih. Ketika mereka panggil saya hadiri dua sesi ujibakat dan tidak meletakkan sebarang harapan.

“Ketika ditawarkan itu saya terkejut tapi dalam masa yang sama saya anggap ia satu cabaran untuk mencuba satu genre baru,” katanya kepada Astro Gempak.

Sara ditemui selepas pelancaran dan tayangan perdana episod satu Murder By Moonlight di GSC Mid Valley, minggu lalu.

Pun begitu, Sara menganggap ia peluang yang baik buat karier lakonannya.

“Saya faham jika produksi tidak ambil saya kerana selama ini banyak lakonan saya dalam genre berat.

“Mungkin kali ini mereka mahu beri peluang dan saya terbuka untuk berlakon genre sama jika drama ini diterima baik penonton,” beritahunya.


Murder By Moonlight melibatkan gabungan 4 orang pengarah kreatif iaitu Mien.Ly, Khairil M.Bahar, Gavin Yap dan Tony Pietra Arjuna. Setiap pengarah mempunyai sentuhan magis yang berbeza.

Kisah Murder By Moonlight bermula apabila seorang novelis jenayah dan misteri ditemui mati di sebuah resort di pulau terpencil, seorang pengurus hotel, Ameera bertindak sebagai detektif wannabe dan telah mengesyaki antara dua belas tetamu hotel.

Disebabkan terperangkap di pulau, jadi semua orang yang ada di situ tidak boleh ke mana-mana, mahupun keluar dari pulau tersebut. Mereka bukan hanya bimbang kehabisan bekalan makanan tetapi mereka mungkin terperangkap bersama dengan pembunuh yang dicari!

Episod pertama Murder By Moonlight akan ditayangkan secara serentak di saluran Astro Citra dan Astro Ria pada jam 9.00mlm, 1 Ogos. Manakala untuk minggu-minggu seterusnya, saksikan siri drama premium ini setiap hari Isnin, jam 9.00 malam, di Astro Citra atau pilihan alternatif strim di Astro GO atau On Demand.

Lokasi penggambaran Murder By Moonlight telah ditaja oleh Hotel Lexis Hibiscus, Port Dickson. Manakala, jumlah hari penggambaran adalah selama 44 hari.



Terdahulu Astro Originals telah menampilkan deretan drama siri premium daripada pelbagai genre, nilai hiburan berbeza serta olahan jalan cerita segar seperti diinspirasikan dari pendedahan isu-isu yang sememangnya berlaku dalam kalangan penonton seperti ‘Kampong Pisang Bersiri-Siri’(francais filem komedi nombor 1 negara), ‘Projek: Anchor SPM’ (memperkenalkan genre coming of age), ‘I-Tanggang’ (mengetengahkan isu realiti penderitaan mental Munchausen Syndrome by Proxy), ‘Dukun Diva’ (angkat kisah female con artist dan anti-heroes), ‘Kuasa’ (kisah fiksyen sebuah keluarga berpengaruh dalam dunia hiburan), ‘Histeria The Series’ (kesinambungan filem box office2008, Histeria).

Ikuti drama siri premium, Murder By Moonlight yang akan ditayangkan di saluran Astro Citra pada jam 9.00 malam, setiap hari Isnin, bermula 1 Ogos ini. Ikuti info dan klip-klip menarik menerusi akaun TikTok, Instagram, Facebook, Twitter Astro Gempak dan Astro Shaw.