Viral

Pertandingan Pakaian Beragam Janda-Janda Dibatalkan - "Sebenarnya Ia Hanya Acara Suka-Suka"

gempak
Gempak
17/04/2024
09:36 MYT
Sponsor Banner
Pertandingan Pakaian Beragam Janda-Janda Dibatalkan - "Sebenarnya Ia Hanya Acara Suka-Suka"
Pertandingan Pakaian Beragam Janda-Janda Temerloh yang dijadualkan berlangsung di Taman Tasik Chatin, Mentakab, Pahang, pada Ahad ini, telah dibatalkan.
Wakil penganjur yang dikenali Uncle John berkata, pembatalan acara itu dilakukan selepas mendapat nasihat pihak berkuasa dan Ahli Parlimen Temerloh, Salamiah Mohd Nor.
Menurutnya, acara itu merupakan aktiviti selingan sempena jamuan raya yang akan diadakan pada hari terbabit.
"Sebenarnya dari awal, ia hanya acara suka-suka yang dirancang oleh kami dan hanya dimaklumkan dalam kumpulan kecil kami.
"Tidak sangka poster pertandingan ditularkan di media sosial dan terkejut apabila ramai yang berminat menyertai pertandingan ini," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Rabu.
Dalam poster tersebut, penyertaan dibuka kepada peserta berumur 20 tahun ke atas.
Beliau juga berharap isu itu tidak berpanjangan dan melarat selepas pertandingan tersebut dibatalkan.
"Saya memohon maaf atas kesilapan dan kekhilafan yang dilakukan dalam perkara ini.
"Sudah tentu saya memahami bahawa isu ini bakal menjadi perkara sensitif dan boleh mencetuskan perasaan sensitiviti dalam kalangan masyarakat Islam di Temerloh dan di Pahang secara amnya.
"Saya dengan rasa rendah diri, sekali lagi memohon maaf atas kelemahan di pihak kami dalam perkara ini," ujarnya lagi.
Sementara itu, Salamiah kesal dengan penganjuran pertandingan itu dan telah membuat bantahan kepada pihak Pejabat Agama Islam Daerah (Paid) Temerloh selain laporan polis pada Selasa.
"Saya telah menerima dan meneliti semua laporan yang telah sampai ke pejabat saya berkenaan dengan penularan satu acara yang dinamakan 'Pertandingan Pakaian Beragam Janda-Janda Daerah Temerloh'.
"Bertindak atas laporan tersebut, saya telah mengarahkan wakil Pusat Khidmat Ahli Parlimen Temerloh untuk terus menghubungi wakil penganjur berdasarkan nombor yang tertera di poster yang ditularkan.
"Saya telah menerima maklum balas daripada pihak penganjur yang memberikan komitmen untuk membatalkan acara ini dan hanya menjalankan acara rumah terbuka Aidilfitri sahaja," ujar beliau.
Dalam pada itu, Salamiah berharap perkara tersebut menjadi pengajaran kepada mana-mana pihak dalam menganjurkan sebarang aktiviti selepas ini.
Tambahnya lagi, satu pemantauan akan dilakukan oleh pihaknya sendiri selain daripada pihak berkuasa pada hari tersebut untuk memastikan acara itu tidak diadakan pada hari terbabit. - Sinar Harian
Topic Berkaitan
Must-Watch Video
Gempak Non Stop Live